
"TERIMA kasih Rakyat Malaysia. Saya nak ucap terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana mendoakan keselamatan saya."
Demikian tutur pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang telah dibenarkan keluar dari Hospital Tapah selepas menerima rawatan selama tiga hari di hospital berkenaan.
Jaslinda yang bertongkat dengan kaki kiri berbalut dilihat keluar dari wad perempuan jam 1.50 petang memaklumkan akan pulang berehat.
"Statement-statement tu kemudian nantilah saya beritahu. Saya yang benda-benda tu semua, yang dengar tu fitnah.
"Nanti saya bagi statement saya ya," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Jaslinda memaklumkan keadaan kesihatannya yang baik dan tidak berniat untuk menyusahkan mana-mana pihak.

"Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana doakan keselamatan saya.
"Alhamdulillah, sihat. Terima kasih banyak. Terima kasih semua atas doa-doa. Saya sangat hargai.
"Minta maaf. Minta maaf ya. Saya tidak berniat untuk susahkan sesiapa. Minta maaf susah-susahkan semua.
"Terima kasih Hospital Tapah, I love you," kongsinya yang meninggalkan pekarangan hospital menaiki kenderaan dipandu suami.
Terdahulu, suaminya, Haszman Othman, 61, memaklumkan minat Jaslinda terhadap aktiviti lasak tersebut masih kekal meskipun berdepan situasi mencemaskan.
Malah pengalaman pahit hilang di Gunung Batu Putih selama 15 hari tidak mematahkan semangatnya untuk terus melakukan aktiviti pendakian.

“Semangat dia memang ada lagi... bukan tak serik, tapi masih nak hiking,” katanya ketika ditemui di Hospital Tapah pada Selasa.
Bagaimanapun, Haszman menegaskan sebarang aktiviti pendakian selepas ini perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati dan bersyarat.
“Saya cakap boleh, tapi bawa anak-anak. Kena lebih berjaga-jaga,” katanya.
Kata Haszman, isterinya sebenarnya mempunyai perancangan untuk meneruskan aktiviti pendakian apabila dijadualkan menyertai ekspedisi ke Gunung Gedong pada 30 Mei lalu, namun hasrat itu tidak kesampaian susulan kejadian yang menimpanya di Gunung Batu Putih.
Mengulas lanjut, Haszman memaklumkan, pihaknya bersedia mengambil tindakan undang-undang kepada beberapa pengguna media sosial yang keterlaluan sehingga memfitnah isterinya susulan kehilangan itu.
"Ada yang mengaitkan dengan ah long... Ada juga yang bergurau melampau hingga menfitnah kononnya Tok Batin simpan isteri saya selama seminggu.





