Jaslinda Mohon Maaf Kepada Pasukan SAR -“Saya Tiada Niat Susahkan Sesiapa”

9 Jun 2026 • 4:25 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Pendaki wanita yang dilaporkan hilang selama 14 hari ketika mendaki Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin akhirnya dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan selama tiga hari di Hospital Tapah.

Keluar wad hari ini

Memetik laporan daripada Bernama, Jaslinda, 49, dilihat meninggalkan wad bersama suaminya, Haszman Othman kira-kira jam 1.50 tengah hari tadi dengan ditemani petugas kesihatan.

Image from: Jaslinda Mohon Maaf Kepada Pasukan SAR -“Saya Tiada Niat Susahkan Sesiapa”

Foto: Bernama

Guna tongkat alami sedikit kecederaan di kaki

Sebelum beredar, wanita itu yang masih menggunakan tongkat dan mempunyai balutan pada kaki kirinya kelihatan sebak ketika mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan keselamatannya sepanjang tempoh kehilangannya.

“Alhamdulillah saya sihat. Terima kasih banyak kepada semua rakyat Malaysia kerana doakan keselamatan saya, sangat menghargainya.
“Statement-statement (kenyataan-kenyataan) itu kemudianlah saya akan bagi tahu. Yang benda-benda semua itu, yang didengar itu semuanya fitnah… nanti saya bagi kenyataan saya.
“Terima kasih semua, minta maaf menyusahkan SAR semua. Saya tiada niat nak susahkan sesiapa. Terima kasih semua,” kata Jaslinda.
Image from: Jaslinda Mohon Maaf Kepada Pasukan SAR -“Saya Tiada Niat Susahkan Sesiapa”

Foto: Bernama

Minta ruang sebelum beri penjelasan

Dalam masa sama, Jaslinda turut meminta ruang sebelum tampil memberikan penjelasan berhubung pelbagai dakwaan dan tohmahan yang timbul susulan kehilangannya.

Terdahulu, Jaslinda ditemukan pada Sabtu lalu oleh dua penduduk Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh yang sedang memancing di Sungai Woh.

Wanita itu ditemui pada hari ke-14 kehilangannya ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) berskala kecil memasuki hari ketiga, selepas operasi SAR berskala besar dijalankan dari 25 Mei hingga 3 Jun lalu.

Selepas berjaya diselamatkan, Jaslinda dibawa ke Hospital Tapah menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menerima rawatan lanjut.

Sumber: Bernama 

The post Jaslinda Mohon Maaf Kepada Pasukan SAR -“Saya Tiada Niat Susahkan Sesiapa” appeared first on Borak Daily.