
RANAU: Jasty Muhinin muncul juara Pertandingan Lastik Terbuka Sarayo yang diadakan di Dewan Mini Marandawi, Kampung Tungou, di sini baru-baru ini.
Dengan kemenangan itu, Jasty membawa pulang wang tunai sebanyak RM300 selepas mengumpul 33 mata mengalahkan 68 peserta lain.
Locote muncul sebagai naib juara dan menerima wang tunai RM200, manakala tempat ketiga dimenangi Abang Topel Trepedo yang membawa pulang RM150.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Pertandingan Lastik Terbuka Sarayo itu mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan belia di daerah ini serta dari daerah-daerah lain apabila mencatatkan sejumlah 69 penyertaan.
Pertandingan yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Platun Rela 0010 Kg Tungou dengan kerjasama Komuniti Lastik Tungou Villa (TVSC).
Pertandingan itu dirasmikan oleh Pegawai Rela Ranau Mohd Ramdan Raidin dan turut dihadiri oleh anggota Platun Rela 0010 Kg Tungou serta penduduk setempat.
Dalam ucapannya, Mohd Ramdan memuji inisiatif Platun Rela 0010 Kg Tungou yang menganjurkan pelbagai aktiviti bertujuan mengeratkan hubungan sesama anggota Rela serta mewujudkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk.
“Pertandingan seperti ini dapat memupuk semangat toleransi, persaudaraan dan perpaduan erat dalam kalangan kita dan sudah pasti wajar diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Pengerusi TVSC, Hazrin @ Idan Jurus pula merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kehadiran Mohd Ramdan serta kerjasama semua anggota Rela dan ahli TVSC yang bertungkus-lumus menjayakan pertandingan terbabit.
“Kami juga bersyukur dengan jumlah penyertaan yang ramai dan berharap agar jumlah peserta akan terus meningkat dalam penganjuran akan datang,” katanya.
Pertandingan melastik secara umum merujuk kepada acara yang menguji ketepatan dan kemahiran peserta dalam menggunakan lastik.
Pertandingan ini boleh berlangsung secara santai mahupun secara rasmi dengan pelbagai jenis sasaran dan jarak.
Sukan melastik secara kompetitif kini semakin mendapat perhatian, malah pertandingan peringkat antarabangsa turut diadakan di negara-negara seperti Sepanyol, Itali dan China.
Piala Dunia Melastik merupakan antara pertandingan paling berprestij, menghimpunkan peserta dari seluruh dunia yang bersaing menunjukkan ketepatan dan kemahiran menembak sasaran.
Di Sabah, pertandingan melastik sudah lama dianggap sebagai sukan rakyat dan kini semakin popular apabila pertandingan kecil sering dianjurkan oleh pelbagai pihak.
