“Jatuh Air Mata Cip” – Kisah Arwah Botak Jadi Sebab Lando Bertanding PRU15 Buat Ramai Sebak [Video]

LocalPolitics
5 Aug 2025 • 11:34 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Perjalanan hidup setiap manusia pastinya menyimpan pelbagai kisah suka dan duka yang tidak diketahui ramai. Malah, ada yang melakukan sesuatu perkara atau menceburi sesuatu bidang bukan kerana dirinya sendiri tetapi disebabkan individu lain.

Begitu juga dengan pelakon dan aktivis masyarakat, Lando Zawawi yang mendedahkan sebab mengapa dia bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Tanjung Karang, Kuala Selangor pada 19 November 2022 lalu.

Siapa sangka, di sebalik keceriaan dan sikap suka bergurau senda Lando itu, ternyata tersimpan sebuah cerita yang amat meruntun jiwa.

Ahli Brotherhood jadi sebab Lando bertanding PRU15 di Tanjung Karang

Lando atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi, 50, berkongsi kisah terbabit dalam satu audio siar (podcast) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Pakarunding.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok @ukmpakarunding, Lando mendedahkan seorang sahabatnya yang dikenali sebagai arwah Botak merupakan sebab utama dia menyertai pilihan raya umum terbabit di Tanjung Karang.

Dedah Lando, arwah Botak yang berasal dari Tanjung Karang merupakan ahli pergerakan geng ‘Brotherhood’ yang sering mengikutinya menurap jalan berlubang.

Arwah Botak turap jalan guna tangan kosong

Menurutnya, arwah Botak mempunyai sikap yang pelik iaitu sering menurap jalan dengan menggunakan tangannya sendiri tanpa peralatan seperti cangkul.

“Dia (arwah Botak) suka turap tar pakai tangan, dia cakap dia nak ajar tangan dia berbudi sebab bila meninggal nanti dia kata mulut kena kunci dan anggota badan yang akan bercakap.

“Bila saya lepak kafe dia datang join saya lepak, tapi setiap kali saya niat nak belanja dia mesti ada orang yang bayarkan bil saya,” katanya.

Lando sebak kenang saat pemerigian Allahyarham Botak

Berkongsi lanjut, Lando berkata Allahyarham meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan ketika sedang bekerja.

Apa yang mencuri perhatian adalah, tangisan Lando yang dikenali sebagai seorang aktivis kental dan bermulut lantang ketika menceritakan keadaan arwah Botak ketika meninggal dunia.

Jelasnya, timbul keinsafan selepas melihat foto arwah Botak yang meninggal dunia dalam keadaan jari telunjuknya terangkat seperti ketika menyebut kalimah syahadah dalam solat.

Malah, lebih mengejutkan Lando, majlis pengebumian sahabatnya itu dihadiri ramai orang melebihi rakan artis yang sudah meninggal dunia.

“Allah boleh bagi peluang, aku ini tak tahu lagi. Tapi orang macam dia (arwah botak) Allah bagi peluang kira sempat mengucap dua kalimah syahadah. Banyak artis-artis meninggal aku pernah tanam tapi tak seramai budak ini orang yang datang. Allahyarham sangat mudah ditanam.

“Ramai sangat yang tengok dia, kalah artis, ramai tanya ‘dia ini siapa?’, dia budak rider je bro, tiada yang kenal, aku panggil dia Botak je. Seminggu selepas itu aku pergi kubur dia, aku dapat (cium) bau wangi.

“Sebab itu aku bertanding di Tanjung Karang, itu kampung dia. Sebab dia cakap dia nak berjasa dekat Tanjung Karang sebab jalan Tanjung Karang teruk. Walaupun aku kalah sekalipun, aku sempat turap sembilan sekolah di sana untuk Allahyarham,” katanya.

@ukmpakarunding Kisah di sebalik kenapa Lando bertanding di Tanjung Karang. #ukmpakarunding #podcast #podcastilmiah #podcastukm @LandoNyipNyip! ♬ original sound – UKM Pakarunding

Sebagai info, Lando sebelum pilihan raya (PRU15) pernah menyebut nama seorang rakan iaitu Ikram Botak yang mewakili Brotherhood di Tanjung Karang sebagai punca memilih untuk bertanding di sana.

Namun, cita-cita sahabatnya untuk membangunkan kawasan itu seperti lokasi lain di Selangor tidak kesampaian kerana arwah meninggal dunia.

“Bagaimanapun, cita-cita arwah tidak kesampaian namun sebagai sahabat, saya mengambil tanggungjawab ini dan meneruskan impian untuk melakukan perubahan Tanjung Karang.

“Apa yang saya boleh janjikan adalah jika kalah sekalipun dalam PRU-15, saya akan tetap teruskan usaha membangunkan kawasan ini seperti yang diimpikan oleh arwah,” kata Lando dipetik Getaran.

Kisah berkenaan turut dikongsikan pengasas Brotherhood itu di akaun Instagram miliknya bersama kapsyen, “Hidup berjuang mati berbaloi, semoga pengakhiran yang baik untuk kita semua.”

Source: