
Jauh Dari Bumi, Macam Mana Kru Artemis Boleh "Online" Ketika Di Angkasa?
Ketika ini, dunia sedang menyaksikan sejarah baharu penerokaan manusia ke bulan selepas kali terakhir manusia menjejakkan kaki pada tahun 1972 menerusi misi Apollo 17.
Walaupun misi Artemis II kali ini tidak mendarat di bulan, sebaliknya hanya mengelilinginya, ia tetap menjadi detik paling hampir manusia dengan bulan sejak lebih lima dekad lalu.
Seperti yang diketahui, terdapat empat orang angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang telah terpilih untuk menyertai misi bersejarah tersebut iaitu Reid Wiseman, Victor Glover, Christina Koch dan Jeremy Hansen.

Setiap momen ketika di angkasa, ia disiarkan secara langsung oleh NASA.
Namun, timbul persoalan dalam kalangan orang ramai tentang bagaimana komunikasi antara kru dan pasukan di bumi boleh berlaku dengan begitu lancar.
Bagaimana siaran dapat disampaikan secara langsung dan data dihantar dengan pantas walaupun berada ratusan ribu kilometer dari bumi? Adakah benar terdapat talian internet di angkasa?
Untuk pengetahuan, suara angkasawan, imej, video dan data misi penting yang merentasi ribuan batu dibawa melalui isyarat daripada sistem komunikasi NASA. Tentunya, ia bukan seperti sistem internet di planet kita.
Misi Artemis ini bergantung pada Near Space Network (NSN) dan Deep Space Network (DSN), yang diawasi oleh Space Communications and Navigation (SCaN).
Ia juga dibantu dengan penggunaan infrastruktur global dan satelit geganti untuk memastikan komunikasi dan pengesanan yang lancar semasa Orion berlepas, mengorbit bumi, bergerak ke bulan dan kembali ke bumi.
Near Space Network (NSN)
Menurut NASA, NSN menyediakan perkhidmatan komunikasi dan navigasi yang penting bagi misi yang beroperasi sehingga 1.25 juta atau dua juta kilometer dari permukaan bumi.
Sebagai komponen utama dalam Program SCaN, NSN membolehkan kapal angkasa menghantar data penting kepada pengendali misi di bumi.
Dengan menggunakan sistem geganti angkasa lepas dan rangkaian global antena terus ke bumi (DTE) milik kerajaan dan komersial, rangkaian ini berjaya menurunkan data sebanyak terabait setiap hari.
NSN menyediakan perkhidmatan telemetri, arahan (commanding), penjejakan berasaskan darat, data dan komunikasi kepada pelbagai pelanggan yang mempunyai satelit di beberapa lokasi, antaranya di orbit bumi rendah, orbit geosegerak dan orbit bulan.

Ia memudahkan proses bagi pasukan misi yang memerlukan perkhidmatan komunikasi dan navigasi.
Daripada perlu mencari penyedia perkhidmatan secara berasingan, mereka boleh berurusan terus dengan rangkaian ini.
Mereka juga boleh bekerjasama dengan pengurus misi untuk memperhalusi keperluan, serta mengakses portfolio penyelesaian yang disesuaikan daripada pihak kerajaan dan komersial.
Baca juga:
Kru Artemis II Sedang Saksikan Gerhana Matahari Penuh
Kru Artemis II Berdepan Gangguan Komunikasi, Terputus Selama 40 Minit
Deep Space Network (DSN)
DSN merupakan sistem telekomunikasi saintifik terbesar dan paling sensitif di dunia. Ia adalah rangkaian antarabangsa antena radio gergasi milik NASA yang menyokong misi kapal angkasa antara planet, selain beberapa kapal angkasa yang mengorbit bumi.
DSN turut menyediakan pemerhatian radar dan astronomi radio yang membantu meningkatkan pemahaman kita tentang sistem suria serta alam semesta yang lebih luas.
DSN dikendalikan oleh Jet Propulsion Laboratory (JPL), yang juga mengendalikan banyak misi robotik antara planet milik NASA.
Rangkaian DSN terdiri daripada tiga kemudahan utama yang ditempatkan pada jarak yang sama antara satu sama lain iaitu kira-kira 120 darjah longitud di seluruh dunia.

Lokasi tersebut ialah di Goldstone Deep Space Communications Complex, berhampiran Barstow di California, Madrid Deep Space Communications Complex di Sepanyol dan berhampiran Canberra Deep Space Communications Complex.
Penempatan strategik di tiga lokasi ini membolehkan komunikasi berterusan dengan kapal angkasa ketika bumi berputar.
Sebelum kapal angkasa yang jauh tenggelam di bawah ufuk di satu lokasi DSN, lokasi lain akan mengambil alih isyarat tersebut dan meneruskan komunikasi.
Antena-antena dalam Deep Space Network merupakan penghubung penting kepada misi penerokaan angkasa di luar bumi.
Ia menyediakan sambungan penting untuk menghantar arahan kepada kapal angkasa serta menerima imej dan data saintifik yang belum pernah dilihat sebelum ini di Bumi, sekali gus membantu meningkatkan pemahaman manusia tentang alam semesta, sistem suria dan kedudukan kita di dalamnya.
Orion Artemis II Optical Communications System (O2O)
Selain sokongan rangkaian radio tradisional, kapal angkasa tersebut turut dilengkapi dengan Orion Artemis II Optical Communications System (O2O), iaitu sebuah terminal komunikasi laser yang akan menghantar data saintifik sebenar serta data kru melalui sambungan laser.

Transceiver optik digunakan untuk menghantar dan menerima maklumat melalui isyarat laser, sekali gus membolehkan data dihantar dengan lebih pantas dan cekap.
Antara manfaat sistem ini adalah ia lebih pantas, selamat, lebih ringan dan fleksibel.
Dikendalikan secara serentak
Pakar akan mengendalikan rangkaian ini secara serentak bagi membolehkan pertukaran data antara kapal angkasa dan pengawal misi di Bumi.
Pusat Kawalan Misi NASA di Johnson Space Center akan menjejak roket Space Launch System (SLS), Interim Cryogenic Propulsion Stage, serta kapal angkasa Orion melalui penyelarasan pemindahan isyarat antara pelbagai aset rangkaian di bumi dan di angkasa sepanjang tempoh misi.
Dengan menggunakan stesen darat di seluruh dunia serta rangkaian satelit geganti, NSN menyediakan perkhidmatan komunikasi dan navigasi semasa beberapa peringkat operasi misi Artemis II.
Rangkaian yang diuruskan oleh NASA Goddard Space Flight Center ini mempunyai sejarah panjang dalam menyokong misi penerbangan angkasa manusia berhampiran Bumi.
Selepas pembakaran translunar injection, iaitu fasa yang akan menetapkan Orion pada laluan orbit yang dirancang mengelilingi bulan, sokongan komunikasi utama akan beralih kepada DSN, yang dikendalikan oleh Jet Propulsion Laboratory di selatan California.


