SPM 2026: Ujian mendengar, bertulis bagi BM dan BI disekalikan mulai tahun ini

23 Nov 2026 • 10:18 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SPM 2026: Ujian mendengar, bertulis bagi BM dan BI disekalikan mulai tahun ini

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menggabungkan pelaksanaan ujian mendengar dan ujian bertulis bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris buat pertama kalinya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, penyelarasan itu dibuat bagi mengelakkan calon gagal memperoleh sijil akibat tidak hadir satu daripada komponen peperiksaan berkenaan.

Beliau berkata, pendekatan baharu itu membolehkan calon yang selesai menduduki ujian mendengar terus memasuki dewan bagi menjawab ujian bertulis pada hari yang sama.

“Langkah itu diambil berikutan terdapat calon yang hadir menduduki satu komponen peperiksaan tetapi tidak hadir bagi komponen lain, sekali gus menjejaskan keputusan keseluruhan mata pelajaran berkenaan.

“Untuk kita sekalikan dengan ujian bertulis memang tahun ini kita mula. Supaya kita dapat pastikan anak kita lepas ujian mendengar dia terus masuk ujian bertulis,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1), di sini, hari ini.

Katanya, sebelum ini terdapat calon yang mengambil mudah kehadiran bagi setiap komponen peperiksaan, termasuk tidak hadir ujian mendengar atau ujian bertutur walaupun hadir bagi ujian bertulis.

Mengulas lanjut, Mohd. Azam berkata, KPM sebenarnya merancang untuk membawa semua kertas peperiksaan yang mempunyai komponen ujian lisan ke pertengahan jadual peperiksaan.

Bagaimanapun, katanya, perancangan itu belum dapat dilaksanakan sepenuhnya berikutan jumlah calon yang besar bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, selain mengambil kira risiko gangguan akibat banjir.

“Kalau banjir masa itu, daerah kita, negeri kita memang cabaran besar untuk nak menguruskan itu.

“Sebab itu kita masih kekalkan dengan struktur peperiksaan, jadual peperiksaan yang ada, cuma kita bawa satu-satu dulu. Kita nak tengok dulu macam mana,” katanya.

Katanya, pelaksanaan secara berperingkat itu membolehkan KPM menilai keberkesanan pendekatan berkenaan sebelum mempertimbangkan peluasan kepada komponen peperiksaan lain.

Dalam pada itu, beliau berkata, ujian mendengar dan ujian bertutur merupakan komponen penting yang perlu dihadiri calon bagi melengkapkan penilaian mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Seramai 420,879 calon SPM 2026 hari ini mula menduduki peperiksaan dengan Ujian Mendengar Bahasa Melayu bermula pukul 9 pagi diikuti Kertas 1 dan Kertas 2 Bahasa Melayu.

Manakala, esok pula calon akan menduduki Ujian Mendengar Bahasa Inggeris serta Kertas 1 dan Kertas 2 Bahasa Inggeris. – UTUSAN

The post SPM 2026: Ujian mendengar, bertulis bagi BM dan BI disekalikan mulai tahun ini appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved