329 asrama tempatkan calon SPM Pahang berisiko terjejas banjir

23 Nov 2026 • 12:22 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 329 asrama tempatkan calon SPM Pahang berisiko terjejas banjir

MARAN: Seramai 2,134 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di Pahang dikenal pasti berisiko terjejas akibat banjir sepanjang peperiksaan berlangsung bermula hari ini hingga 17 Disember depan.

Daripada jumlah itu, seramai 329 calon telah ditempatkan di asrama beberapa buah sekolah sebagai langkah awal bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan sekiranya berlaku banjir atau jalan perhubungan terputus akibat musim tengkujuh.

Pengarah Pendidikan Pahang, Datuk Ahmad Zamri Md Isa berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang mengaktifkan Operasi Payung dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat bagi memastikan tiada calon tercicir daripada menduduki peperiksaan akibat bencana alam.

Menurutnya, jumlah calon berisiko meningkat daripada 1,544 orang sebelum ini kepada 2,134 berdasarkan maklumat terkini menerusi Dashboard Payung yang membolehkan pemantauan dibuat secara masa nyata.

“Jumlah ini dijangka terus meningkat bergantung kepada keadaan cuaca dan paras air sungai. Tahun lalu, kira-kira 4,000 calon dikenal pasti berisiko terjejas akibat banjir.

“Kami sudah mengenal pasti lokasi rumah, alamat dan laluan perjalanan calon berisiko supaya tindakan segera dapat diambil termasuk membawa mereka ke pusat peperiksaan alternatif sekiranya jalan terputus,” katanya kepada pemberita di SMK Maran di sini, hari ini.

Ahmad Zamri berkata, seramai 21,640 calon menduduki SPM 2026 di 268 pusat peperiksaan seluruh Pahang dengan pengurusan peperiksaan melibatkan 2,992 petugas termasuk 395 sukarelawan.

Katanya, JPN Pahang turut membahagikan pusat peperiksaan kepada 65 kelompok bagi memudahkan penyelarasan, pemindahan calon serta penghantaran kertas soalan sekiranya berlaku banjir atau bencana lain.

“Operasi Payung bukan hanya melibatkan warga pendidikan, malah turut mendapat kerjasama bomba, agensi keselamatan dan pengurusan Felda bagi membantu pergerakan calon terutama apabila jalan perhubungan terputus.

“Baru-baru ini, tiga calon turut terjejas akibat banjir lumpur di Karak namun keadaan kembali pulih dan pusat peperiksaan dapat digunakan sebelum peperiksaan bermula,” katanya.

Beliau berkata, kesiapsiagaan turut merangkumi kemungkinan tanah runtuh di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands manakala calon yang terjejas dinasihatkan segera memaklumkan keadaan mereka kepada pihak sekolah atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zamri berkata, seramai 10 calon dikenal pasti perlu menduduki peperiksaan di hospital dan JPN Pahang memperkenalkan Dashboard Calon Hospital bagi menyelaras keperluan mereka. – UTUSAN

The post 329 asrama tempatkan calon SPM Pahang berisiko terjejas banjir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved