Jawatan Pengerusi Mara bukan milik saya, bila-bila boleh dipecat – Asyraf Wajdi

LocalPolitics
22 Aug 2026 • 3:27 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jawatan Pengerusi Mara bukan milik saya, bila-bila boleh dipecat – Asyraf Wajdi

GERIK – Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki tidak kisah jika khidmatnya sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak diperlukan, susulan desakan yang meminta beliau direhatkan.

Katanya, jawatan tersebut bukan eksklusif miliknya, tetapi adalah amanah yang diberikan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Jawatan ini bukan jawatan yang saya pilih atau pun saya mahu. Ia bukan milik saya. Pada bila-bila masa sahaja mereka boleh pecat saya. Selagi saya menjadi Pengerusi Mara, saya akan laksanakan tanggungjawab dan amanah yang terbaik.

“Tetapi kalau khidmat saya tidak diperlukan pun tidak ada masalah bagi saya kerana ini bukan milik saya,” katanya semasa Program Mara Prihatin Jejak Aspirasi UPTM @ Pos Kemar, di sini hari ini.

Pada minggu lalu, seorang perwakilan dalam Kongres Nasional Keadilan 2026 menyarankan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mempertimbangkan untuk menggantikan Asyraf Wajdi.

Cadangan itu timbul kerana mengaitkan jawatan beliau sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sepanjang tempoh Lembaga Tabung Haji disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Mengulas mengenai perkara sama, Asyraf Wajdi sekali lagi menjelaskan bahawa sebagai Timbalan Menteri dirinya tidak mempunyai sebarang kuasa dan tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran, pengurusan, penetapan perjanjian mana-mana pihak dengan Tabung Haji.

“Harus diingat saya tidak terlibat langsung dan RCI pun tidak ada langsung nama saya kerana dalam Perlembagaan dan dalam Akta Tabung Haji, Timbalan Menteri tidak mempunyai sebarang kuasa,” katanya.

Mengenai program yang dihadirinya, beliau berharap lebih 5,000 penduduk yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli di Pos Kemar akan mendapat manfaat hasil usaha Mara terutama dalam soal pendidikan dan sosioekonomi. – KOSMO! ONLINE

The post Jawatan Pengerusi Mara bukan milik saya, bila-bila boleh dipecat – Asyraf Wajdi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved