Asyraf Wajdi Tegas Saman Fitnah Bukan Untuk ‘Tutup Mulut’, Wang Ganti Rugi Jika Menang Disalur Kepada Pelajar Susah

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 9:34 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Asyraf Wajdi Tegas Saman Fitnah Bukan Untuk ‘Tutup Mulut’, Wang Ganti Rugi Jika Menang Disalur Kepada Pelajar Susah

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan tindakan undang-undang yang diambil terhadap pihak yang didakwa menyebarkan fitnah bukan bertujuan menakutkan, menekan atau menutup mulut sesiapa.

Menurut beliau, tindakan itu juga bukan kerana takut berdepan kebenaran, sebaliknya bagi menghentikan budaya politik fitnah dan provokasi berunsur innuendo sebelum lebih ramai menjadi mangsa.

Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata, mahkamah telah berulang kali menegaskan bahawa undang-undang tidak melindungi fitnah yang berselindung di sebalik pendekatan sekadar mengemukakan soalan.

Ujarnya, prinsip undang-undang mengenai perkara itu adalah jelas apabila innuendo dan soalan yang berniat jahat juga boleh menjadi asas tindakan saman, termasuk berdasarkan beberapa preseden kes fitnah politik di negara ini.

“Saya juga manusia biasa. Saya mempunyai keluarga, maruah dan amanah yang perlu dipelihara.

“Fitnah yang diulang berkali-kali walaupun dibungkus rapi dalam bentuk soalan berniat jahat atau innuendo bukan sahaja mencemarkan nama seseorang, malah berisiko menyesatkan masyarakat untuk menerima tuduhan melampau sebagai kebenaran.

“Jika ada bukti sahih, kemukakan kepada pihak berkuasa dan saya bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sebelum ini, Asyraf Wajdi mengarahkan peguamnya menyerahkan Notis Tuntutan (LOD) bagi memulakan tindakan saman berjumlah RM5 juta terhadap pemilik akaun yang didakwa membuat hantaran berunsur fitnah dan mengaibkan berkaitan isu Lembaga Tabung Haji (TH).

Dalam pada itu, beliau berkata, dirinya yakin kebenaran akan terserlah menerusi proses undang-undang yang sedang diambil.

Baca juga:

Jelasnya, pendiriannya juga kekal bahawa beliau tidak akan menggunakan walau satu sen daripada wang ganti rugi yang dituntut sekiranya berjaya memenangi kes saman berkenaan.

“Insya-Allah, saya juga telah berjanji, setiap saman dan wang ganti rugi yang dituntut, jika berjaya kelak tidak akan satu sen pun saya gunakan untuk diri sendiri.

“Sebaliknya akan disalurkan ke Yayasan Pelajaran MARA untuk manfaat pelajar miskin, yatim dan susah,” katanya.

Beliau berkata, tindakan undang-undang itu bukan sekadar melibatkan soal mempertahankan maruah diri, sebaliknya menjadi usaha untuk menghentikan budaya penyebaran tuduhan tidak berasas yang boleh mencemarkan reputasi seseorang serta mengelirukan masyarakat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved