Jawatan tetap doktor kontrak perkukuh kemudahan kesihatan

LocalHealth & Fitness
11 Oct 2026 • 10:27 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Jawatan tetap doktor kontrak perkukuh kemudahan kesihatan

USAHA kerajaan memperkukuh tenaga kerja sektor kesihatan dilihat mampu mengurangkan kesesakan hospital dan memperluas perkhidmatan kesihatan ke kawasan pedalaman.

Pengerusi Biro Kesihatan Parti Gagasan Rakyat Sabah Dr Davina Markus berkata pengumuman Belanjawan 2027, khususnya tawaran jawatan tetap kepada doktor kontrak dan usaha memperkukuh kemudahan kesihatan awam, amat dialu-alukan.

Katanya, lebih 4,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap tahun ini, manakala lebih 9,000 lagi dijangka menerima tawaran pada tahun depan.

“Bermula tahun depan, doktor yang menamatkan latihan siswazah juga akan terus ditawarkan jawatan tetap sebagai Pegawai Perubatan.

“Saya tumpang gembira kerana pernah melalui pengajian perubatan dan memahami perjalanan panjang serta mencabar untuk bergelar doktor.

“Selepas bertahun-tahun belajar, menjalani latihan siswazah dan berkhidmat, mereka wajar mendapat kepastian kerjaya untuk merancang masa depan,” katanya dalam kenyataan media, di sini pada Jumaat.

Menurut Dr Davina, langkah mengekalkan lebih ramai doktor dalam perkhidmatan awam bukan sahaja memberi kelegaan kepada petugas kesihatan, malah berpotensi mempercepat rawatan, mengurangkan kesesakan hospital dan menambah baik kemudahan wad.

Beliau turut menyambut baik kenaikan insentif bagi petugas Perkhidmatan Kesihatan Udara daripada RM30 kepada RM100.

“Bagi Sabah, perkhidmatan kesihatan udara amat penting kerana masih ramai penduduk di kawasan pedalaman perlu menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan.

“Sebarang usaha memperkukuh perkhidmatan kesihatan luar bandar amat dialu-alukan,” katanya.

Beliau berkata bantuan saringan kesihatan awal juga penting bagi membantu golongan yang layak mengesan penyakit seperti diabetes dan darah tinggi sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Dalam pada itu, beliau berkata peluasan pelepasan cukai individu, termasuk bagi penjagaan selepas bersalin, pusat jagaan ibu bapa dan datuk nenek, pembelian kasut sukan serta perbelanjaan tertentu berkaitan vaksinasi dan haiwan peliharaan, turut memberi ruang kepada keluarga untuk mengurus perbelanjaan mereka.

“Secara keseluruhan, saya menyambut baik perhatian yang diberikan kepada sektor kesihatan dalam Belanjawan 2027.

“Harapan saya, semua inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan manfaatnya benar-benar dirasai rakyat, termasuk mereka yang tinggal jauh di pedalaman Sabah.

“Kepada doktor muda, tahniah atas berita baik ini. Semoga ia menjadi pembakar semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Dalam kesibukan menjaga kesihatan orang lain, jangan lupa menjaga kesihatan diri sendiri,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved