Krisis NS: Undang Luak Sungai Ujong Diarah Kosong Kediaman Rasmi Serta Merta

LocalPolitics
30 Apr 2026 • 6:36 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Selepas lebih 30 tahun menetap di kediaman rasmi Balai Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak akhirnya diarahkan mengosongkan kediaman tersebut serta-merta.

Arahan yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (SUK) bertarikh 29 April itu mula tular hari ini.

Surat berkenaan ditandatangani Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan, Akmal Farid Rizal Noordin.

Antara lain, ia menyatakan bahawa keputusan tersebut dibuat selaras dengan sidang khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta Dewan Undangan Negeri (DUN) bertarikh 17 April.

“Sehubungan dengan itu, pihak tuan diarahkan untuk melaksanakan pengosongan Bangunan Kediaman Rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong berkuatkuasa SERTA MERTA disamping memastikan semua aset-aset Kerajaan Negeri yang didaftar di premis Balai Undang Luak Sungel Ujong hendaklah berada dalam keadaan baik bagi tujuan pemeriksaan semula kelak,” menurut surat berkenaan.

Image from: Krisis NS: Undang Luak Sungai Ujong Diarah Kosong Kediaman Rasmi Serta Merta

Bagaimanapun, SUK, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, ketika dihubungi wartawan enggan mengesahkan arahan pengosongan tersebut.

“Saya tidak boleh mengulas apa-apa,” katanya ringkas.

Menurut sumber, kakitangan kerajaan negeri di situ turut diarahkan berpindah dan telah ditugaskan semula.

Sementara itu, tinjauan di Balai Undang Sungai Ujong mendapati tiada sebarang pergerakan dan keadaan adalah tenang.

Pada 17 April, DKU menerima pemecatan Mubarak sebagai penyandang Balai Undang Sungai Ujong susulan sidang khas di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – Getaran, 30 April 2026

View Original Article