
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pasti ramai yang tahu, puasa di bulan Ramadan merupakan rukun Islam ketiga dan wajib dilakukan oleh individu yang beragama Islam.
Pentingnya puasa ini dapat dilihat apabila seseorang itu perlu menggantikannya jika tertinggal atas sebab tertentu.
Namun entah mengapa, ada segelintir yang dilihat mengambil mudah dan mengabaikan perintah Allah SWT yang satu ini.
12 Individu Ditahan Ponteng Puasa, Beri Pelbagai Alasan
Terbaharu, seramai 12 individu di Wilayah Persekutuan ditahan selepas didapati tidak berpuasa di bulan Ramadan.
Penahanan kesemua individu itu dibuat sewaktu operasi pemantauan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sepanjang tempoh 11 hari di bulan Ramadan.
Pelbagai alasan yang diberikan kerana tidak berpuasa antaranya disebabkan masalah kesihatan serta faktor pekerjaan yang melibatkan kerja-kerja berat.
Tidak hanya itu, ada yang mendakwa tidak mengetahui undang-undang berkaitan larangan makan di tempat awam atau menghormati Ramadan.
7 Individu Diberi Notis Surat Perintah & Ditempatkan Di Program Bimbingan Khas
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan.
Jelas beliau, tindakan diambil selepas kesemua individu itu didapati mengingkari Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559) atas kesalahan tidak menghormati Ramadan.
Malah, tujuh daripada 12 individu yang ditahan turut diberikan notis surat perintah untuk tujuan sisasatan.
Mereka juga akan ditempatkan di bawah program bimbingan khas iaitu Kursus Pemantauan Akhlak (KPA) anjuran JAWI.
Rondaan Dibuat Sekitar Kawasan Wilayah Persekutuan
Tambah Hanifuddin, sebanyak enam rondaan dijalankan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan pemantauan terhadap 18 premis dan dua pusat perniagaan.
“Di Putrajaya, empat rondaan dilakukan dengan 25 premis dan dua lokasi perniagaan dipantau, manakala di Labuan membabitkan enam rondaan meliputi pemantauan 30 premis serta dua lokasi awam.
“Tujuh amaran atau teguran turut dikeluarkan di Wilayah Persekutuan Labuan dengan pendekatan menyantuni masyarakat menerusi edaran risalah serta tampalan poster bertemakan ‘Ramadan Dihormati, Ummah Dirahmati’.
“Individu dikenakan tindakan berusia lingkungan 30 hingga 78 tahun, membabitkan mereka yang bekerja sebagai penghantar barang dan makanan, bekerja sendiri serta individu yang tidak bekerja,” ujarnya.
Individu Boleh Dikenakan Denda Atau Penjara Atau Kedua-Duanya
Hanifuddin turut memberi peringatan kepada mana-mana individu yang melanggar Seksyen 15 Akta 559 bahawa mereka boleh dikenakan tindakan tegas.
Jika sabit kesalahan, denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, hukuman lebih berat dengan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya,” jelasnya.
Baca Artikel Berkaitan: Peguam Tegur ‘Geng Plastik Hitam’, Muslim Makan Di Tempat Terbuka Ketika Ramadan Boleh Dipenjara [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Jual Nasi Bungkus Kepada Orang Tak Berpuasa, Dua Beranak Di Kelantan Kena Cekup
Baca Artikel Berkaitan: Haram Jual Beli Makanan Dengan Orang Yang Ponteng Puasa Di Bulan Ramadan – Ustaz Azhar Idrus [Video]
Source:



![Kerja KL Macam Di Singapura, Laluan Motosikal Di Plaza Tol Sesak Raih Perhatian Ramai [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/cars.jpeg)