Di acara JBL Rewind Revolution Roadshow yang sedang berlangsung di Mid Valley Mega Mall, JBL turut membawa masuk TWS popular mereka iaitu JBL Tour Pro 3. Ia adalah TWS yang cukup unik kerana mempunyai skrin sesentuh yang boleh menjadi transmitter dan juga menyokong Auracast.

JBL Tour Pro 3 adalah pengganti kepada Tour Pro 2. Ia merupakan TWS dengan sokongan pembatalan hingar aktif (True Adaptive Noise Cancelling 2.0), menggunakan pemandu audio Dynamic Driver + 5.1 mm x 2.8 mm Balanced Armature dan mempunyai 6x mikrofon. TWS ini turut menggunakan sistem audio JBL Spatial 360 dan JBL Pro, selain turut mempunyai ketahanan bateri sehingga 44 jam.

Sokongan tambatan pantas Google Fast Pair dan Microsoft Swift Pair turut disertakan. Paling unik adalah skrin 1.57-inci pada kerangka pengecasan yang dipanggil Smart Charging Case. Skrin ini boleh disentuh untuk menyemak notifikasi peranti, mengawal setiap fon telinga, mengawal muzik, menyemak bateri dan akses pantas kepada Spotify.

Dengan penggunaan Bluetooth 5.3, JBL Tour Pro 3 membawakan sokongan Auracast. Smart Charging Case ini boleh menjadi transmitter. Misalnya, sambungkan Smart Charging Case pada televisyen atau skrin dalam kapal terbang melalui kabel bicu audio atau USB-C tanpa memerlukan sambungan Bluetooth. Kemudian jika anda ada speaker lain di rumah dengan sokongan Auracast, audio yang sedang dimainkan pada speaker tersebut turut boleh didengari dan dikawal pada Tour Pro 3.
Di Malaysia, JBL Tour Pro 3 dijual pada harga RM1,499. Ia adalah mahal RM100 berbanding Tour Pro 2 tetapi dengan skrin lebih besar dan pemandu audio lebih baik, ini adalah TWS unik dan menarik yang anda boleh dapatkan yang tidak ditawarkan oleh pesaing.
