JBPM Kelantan sedia pelan kesinambungan perkhidmatan hadapi banjir MTL 

30 Oct 2026 • 1:09 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: JBPM Kelantan sedia pelan kesinambungan perkhidmatan hadapi banjir MTL 

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menyediakan pelan kesinambungan perkhidmatan bagi memastikan operasi kebombaan dan penyelamatan tidak terjejas sekiranya balai bomba dilanda banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata pelan itu membolehkan operasi diteruskan dengan menempatkan anggota dan aset di lokasi alternatif yang dikenal pasti sebagai pusat gerakan bagi menyelaraskan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan.

Beliau berkata perancangan itu mengambil kira pengalaman banjir pada 2014 yang menjejaskan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai serta kejadian pada 2024 yang turut menyebabkan Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang dilanda banjir.

“Kita telah merancang bagaimana balai berkenaan dapat terus memberikan perkhidmatan sekiranya dilanda banjir, termasuk menempatkan anggota di lokasi bersesuaian yang akan menjadi titik pandu bagi menggerakkan operasi kebombaan.

“Pelan ini bukan sahaja melibatkan Balai Bomba Rantau Panjang dan Kuala Krai, malah mengambil kira kemungkinan kejadian sama berlaku di balai-balai lain kerana keadaan banjir sukar dijangka dari semasa ke semasa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Farhan Sufyan berkata pelan kesinambungan perkhidmatan diwujudkan sejak tahun lepas itu bagi memastikan setiap balai yang terjejas masih mampu berfungsi dan memberikan khidmat kecemasan kepada masyarakat.

Mengenai operasi menyelamat di kawasan pedalaman yang berisiko terputus hubungan akibat banjir, beliau berkata JBPM Kelantan turut mengenal pasti beberapa lokasi berisiko, khususnya di Gua Musang dan Lojing, bagi membolehkan tindakan awal dirancang sekiranya laluan darat tidak dapat dilalui.

Beliau berkata perancangan itu dilaksanakan menerusi perbincangan dan latihan bersama pasukan penyelamat serta agensi tindak balas lain bagi menyelaras gerak kerja sekiranya penduduk terperangkap atau perlu dipindahkan ke kawasan selamat.

“Kita telah mengenal pasti beberapa lokasi yang berkemungkinan dilanda banjir dan terputus hubungan, termasuk pusat pemindahan sementara (PPS) yang lebih selamat untuk penduduk.

“Bekalan bantuan juga telah disediakan lebih awal di PPS berkenaan bagi memastikan keperluan penduduk dapat dipenuhi sekiranya mereka terpaksa berpindah,” katanya.

Farhan Sufyan berkata JBPM juga boleh mendapatkan khidmat helikopter sekiranya keadaan benar-benar memerlukan, terutama bagi melaksanakan operasi menyelamat atau membawa keluar mangsa dari kawasan yang tidak dapat diakses melalui jalan darat.

Beliau berkata perancangan dan penyelarasan itu turut bertujuan memastikan penduduk di kawasan berisiko mengetahui lokasi selamat yang boleh dituju sekiranya laluan keluar dari penempatan mereka terputus akibat banjir.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved