
TELUK INTAN – Seorang wanita warga emas ditemukan lemas selepas tiga hari dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Perak di Jeti Kampung Terengganu, di sini Selasa lalu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa berusia 74 tahun ditemukan pada pukul 10.50 pagi hari ini oleh pasukan penyelamat di kawasan Batu 8.
Katanya, mayat yang dijumpai pada jarak 30 kilometer (KM) dari lokasi dia dipercayai jatuh itu kemudian di bawa ke Jeti Pokok Asam untuk tindakan lanjut.
“Operasi yang masuk hari ketiga itu dijalankan dengan membuat carian di permukaan air dan menyusuri alur Sungai Perak ke arah hulu dan hilir, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berkemungkinan menjadi lokasi mangsa terjatuh.
“Mangsa ditemui pada jarak 30KM oleh Unit Anjing Pengesan (K9) dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan selepas pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian lemas pada pukul 3.54 petang, Selasa lalu.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihak bomba mendapati mangsa merupakan seorang wanita warga emas dengan sebuah motosikal dan sepasang kasut dipercayai miliknya ditemui di tempat kejadian.
“Operasi SAR mengesan mangsa yang disertai 17 anggota dengan dibantu pasukan polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) itu tamat pada pukul 1 petang,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tiga hari hilang, warga emas ditemui lemas appeared first on Kosmo Online.






