
KOTA BHARU – Kawasan rendah berhampiran lembangan Sungai Kelantan, Sungai Golok dan Sungai Galas, dikenal pasti sebagai lokasi berisiko banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata, ketiga-tiga lembangan dan jajaran sungai berkenaan melibatkan kesemua 10 jajahan di negeri itu.
“Penilaian risiko ini tidak bermakna keseluruhan kawasan di setiap jajahan akan terjejas, sebaliknya lebih tertumpu kepada penempatan berhampiran lembangan sungai serta kawasan rendah yang berisiko dinaiki air,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tahap kesiapsiagaan JBPM Kelantan ketika ini mencapai 90 peratus, dengan pemeriksaan peralatan dan aset operasi dilaksanakan bagi memastikan semuanya berfungsi dengan baik bagi menghadapi musim tengkujuh.
Katanya, JBPM Kelantan mempunyai 22 balai bomba dengan kekuatan keseluruhan 663 anggota, selain 223 anggota Pasukan Bomba Bantuan yang bersedia membantu operasi penyelamatan.
Beliau berkata, jabatan itu turut mendapat sokongan 16 pasukan bomba sukarela aktif dan 51 pasukan Bomba Komuniti bagi membantu operasi menyelamat serta bantuan kepada penduduk ketika banjir.
Bagaimanapun, Farhan Sufyan berkata, anggota dan aset sedia ada tidak mencukupi sekiranya Kelantan dilanda banjir besar seperti yang pernah berlaku pada 2014 atau 2024, terutama dari segi keperluan aset operasi.
Tambahnya, pangkalan hadapan serantau yang biasanya ditempatkan di Terengganu akan membantu operasi di Kelantan, Terengganu dan Pahang sekiranya berlaku banjir yang memerlukan tambahan anggota serta aset penyelamatan.
Ujarnya,JBPM turut merancang menggunakan konsep regional forward base bagi membolehkan bantuan anggota dan aset dari negeri lain termasuk Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya digerakkan ke kawasan yang memerlukan bantuan ketika bencana. – BERNAMA
The post Kawasan rendah berdekatan tiga lembangan sungai berisiko banjir appeared first on Kosmo Online.






