JBPM pastikan kebajikan anggota terlibat tragedi di Nepal terus diberi perhatian

14 Sep 2026 • 1:03 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: JBPM pastikan kebajikan anggota terlibat tragedi di Nepal terus diberi perhatian

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memastikan kebajikan dua anggotanya yang terlibat dalam tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal dan China pada 26 Ogos lalu terus diberi perhatian, termasuk membabitkan urusan pembayaran gaji dan pencen.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, JBPM telah pun merujuk perkara berkenaan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mendapatkan perincian lebih lanjut.

“Opsyennya ialah pengurusan pembayaran gaji, kita telah pun rujuk kepada pihak JPA tentang pembayaran gaji dan juga pembayaran pencen kemungkinan kepada Tuan Sani (Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan di Ibu Pejabat JBPM, Mohd Sani Harul). Sebab Tuan Sani ini akan pencen pada 23 September ini, jadi proses untuk meneruskan prosedur itu adakah ada kewajaran ataupun tidak.

“Bagi Fakhrul (pegawai Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Mohd. Fakhrul Munir Mohd Isa) pula, beliau masih lagi ada servis. Jadi pengesahan kepada pembayaran gaji diteruskan ataupun tidak itu juga kita akan rujuk kepada pihak JPA. Kita telah pun rujuk dan menunggu tunggu keputusan tersebut,” katanya.

Nor Hisham berkata demikian ketika ditanya berhubung perkembangan terkini membabitkan dua anggota JBPM yang masih gagal dikesan sehingga kini susulan kejadian banjir kilat di Nepal selepas Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, dua pegawai JBPM antara rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir kilat di Rasuwa, Nepal.

Kedua-dua pegawai lelaki berkenaan adalah sebahagian daripada kumpulan 10 rakyat Malaysia dalam perjalanan menuju Everest Base Camp (EBC) yang mula bertolak ke Nepal pada 24 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, buat masa ini JBPM masih menunggu pengesahan rasmi berhubung status kedua-dua anggota terbabit sebelum sebarang tindakan selanjutnya diputuskan.

Katanya, sebarang keputusan berhubung urusan membabitkan pembayaran gaji mahu pun pencen telah pun dirujuk kepada JPA dan akan diputuskan oleh pihak berkenaan. – UTUSAN

The post JBPM pastikan kebajikan anggota terlibat tragedi di Nepal terus diberi perhatian appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved