Tragedi banjir Nepal: JBPM rujuk JPA urusan gaji, pencen dua pegawai

LocalPolitics
14 Sep 2026 • 1:51 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Tragedi banjir Nepal: JBPM rujuk JPA urusan gaji, pencen dua pegawai

SHAH ALAM, 14 SEPT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung urusan gaji dan pencen dua pegawainya yang terbabit dalam tragedi banjir kilat di Rasuwa, Nepal, dua minggu lalu.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, rujukan itu melibatkan kesinambungan pembayaran gaji serta urusan pencen seorang pegawai yang dijadualkan bersara pada 23 September ini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, pegawai berkenaan, Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Ibu Pejabat JBPM, Mohd Sani Harul, dijadualkan bersara pada tarikh berkenaan.

"Beliau akan bersara, jadi proses untuk meneruskan prosedur pembayaran gaji dan pencen itu akan dirujuk kepada JPA sama ada mempunyai kewajaran atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Selain Mohd Sani, seorang lagi pegawai, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa dari Akademi JBPM Wilayah Tengah, turut terbabit dalam insiden berkenaan.

Nor Hisham berkata, Fakhrul masih mempunyai tempoh perkhidmatan yang panjang dan urusan pengesahan kematiannya perlu diteliti berdasarkan peruntukan undang-undang berkaitan.

Katanya, kaedah pengesahan kematian berbeza mengikut negara, termasuk bagi kes yang berlaku di Nepal.

"Jadi kita akan rujuk kepada JPA sama ada perlu menggunakan undang-undang di Nepal dan adakah pengesahan daripada kerajaan Nepal mencukupi atau kita perlu menggunakan akta kita sendiri.

"Kalau mengikut akta kita, tempohnya tujuh tahun. Tetapi saya dimaklumkan tempoh di Nepal lebih pendek. Cuma saya belum melihat sendiri akta berkenaan," katanya.

Hari ini, media melaporkan Kementerian Luar Negeri memaklumkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan menamatkan penugasan di Nepal hari ini.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan kepastian mengenai status 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi akan diteruskan meskipun penugasan SMART ditamatkan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved