JDT tiada niat malukan UM Damansara - Munoz

FootballSports
9 Sep 2026 • 11:19 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: JDT tiada niat malukan UM Damansara - Munoz
JDT membelasah UM Damansara 10-0 dalam perlawanan timbal balik pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa. Foto: Bernama.

KEMENANGAN besar 10-0 ke atas UM Damansara United bukan bertujuan untuk memalukan lawan, sebaliknya menjadi gambaran kesungguhan Johor Darul Ta'zim (JDT) memastikan prestasi pasukan kekal pada tahap terbaik.

Pengendali JDT, Xisco Munoz berkata, anak buahnya menampilkan aksi lebih matang dalam perlawanan timbal balik pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam, sekali gus melangkah ke suku akhir dengan agregat 14-1.

Katanya, barisan pemain tidak mengambil mudah perlawanan berkenaan dan terus mengekalkan intensiti permainan sehingga wisel penamat.

“Yang penting ialah konsistensi pemain sepanjang perlawanan. Kami juga berjaya mengelak daripada dibolosi selepas saya kecewa dengan jaringan yang dilepaskan pada perlawanan pertama.

“Kali ini keadaannya berbeza. Pemain serangan dan pertahanan menunjukkan kematangan, mengawal permainan dan melaksanakan apa yang kami mahukan.

“Jaringan sebanyak itu memang di luar jangkaan. Kami tidak pernah berniat untuk merendahkan mana-mana pasukan. Pemain hanya menjalankan tugas, bekerja keras dan mengambil kesempatan daripada kesilapan lawan,” katanya.

Munoz, yang pernah membimbing Watford, turut menyifatkan kemunculan pemain muda Daniesh Amirrudin sebagai antara perkara positif dalam kemenangan berkenaan.

Daniesh yang diturunkan pada babak kedua bukan sahaja tampil yakin, malah berjaya menjaringkan gol sekali gus menarik perhatian pengendali dari Sepanyol itu.

“Persembahannya menakjubkan. Dia memiliki kepantasan, pergerakan yang baik dan paling penting, personaliti besar untuk beraksi.

“Tahniah kepada jurulatih di Akademi JDT kerana berjaya menyediakan pemain yang sentiasa bersedia apabila diperlukan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved