SHAH ALAM, 4 JAN: Jelajah JobCare Selangor yang menawarkan ribuan peluang pekerjaan diteruskan tahun ini ke sembilan daerah, kata EXCO sumber manusia.
Menurut V Papparaidu, karnival itu bakal disertai majikan yang menawarkan peluang kerja dalam pelbagai sektor termasuk perkhidmatan dan pembuatan.
Bidang lain adalah pemasaran, kesihatan, pelancongan, hospitaliti, pengangkutan, makanan dan minuman.
“Tahun ini jelajah JobCare Selangor akan diteruskan ke sembilan daerah dan perincian mengenainya akan diumumkan nanti,” katanya kepada Media Selangor.

Papparaidu turut menambah, pihaknya berhasrat mengadakan program kesedaran di sekolah menengah terutama dalam aspek perkembangan kerjaya selepas tamat persekolahan.
“Contohnya galakkan pelajar ambil kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau kemahiran supaya ada alternatif yang boleh bantu kehidupan mereka pada masa akan datang.
“Kita cuba tumpukan untuk beri pendedahan mengenai peluang kerja dalam bidang tertentu terutama kepada pelajar kurang cemerlang untuk pendedahan perkembangan kerjaya yang sesuai untuk mereka,” katanya.
Jelajah JobCare adalah inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu golongan berkemahiran rendah, sederhana dan tinggi mendapat pekerjaan dalam pelbagai bidang.
Tahun lalu, kira-kira 35,000 peluang pekerjaan ditawarkan dalam Jelajah JobCare Selangor berlangsung di sembilan daerah bermula Julai.
Selangor pada tahun lalu turut menganjurkan Karnival Jobcare Istimewa Selangor, khas untuk golongan rentan seperti orang kelainan upaya (OKU), Orang Asli, asnaf miskin, bekas banduan, warga emas, suri rumah serta gelandangan untuk mendapat pekerjaan.

The post Jelajah JobCare diteruskan tahun ini, rancang program kesedaran di sekolah menengah appeared first on Selangorkini.



