Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bukan kempen politik – Ab Rauf

LocalPolitics
23 Aug 2026 • 2:22 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bukan kempen politik – Ab Rauf

ALOR GAJAH: Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang dilaksanakan kerajaan negeri di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan kempen pilihan raya, sebaliknya tanggungjawab pemimpin untuk mendekati dan menyantuni rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada cara pentadbiran negeri bekerja sejak hari pertama beliau diberi amanah menerajui Melaka tanpa menunggu pilihan raya semakin hampir.

“Ini memang kerja, bukan kempen. Ini gerak kerja kita sebagai tanggungjawab dan amanah yang diberi oleh rakyat untuk kita menyantuni segala keperluan rakyat dalam menguruskan pentadbiran Negeri Melaka sebelum habis tempoh khidmat.

“Kalau kita mahu benar-benar memahami rakyat, kita kena jadi rakyat terlebih dahulu. Kita kena turun bersama mereka, duduk semeja, dengar sendiri apa yang mereka rasa dan selami sendiri kesusahan yang mereka lalui.

“Dari situlah kita akan tahu apa yang sebenarnya rakyat perlukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Machap Jaya di Dewan Terbuka FELDA Tun Ghafar, Menggong, di sini hari ini.

Ab Rauf berkata, kerajaan negeri tidak hanya mahu rakyat datang kepada kerajaan untuk menyampaikan masalah, sebaliknya pemimpin perlu turun padang bagi mendengar sendiri keluhan dan memahami keperluan mereka.

Menurut beliau, pendekatan berkenaan turut diterjemahkan menerusi pelbagai program termasuk Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Hari EXCO Bertemu Rakyat (HEBAT) selain Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat.

Katanya, semua inisiatif itu berteraskan kepentingan rakyat kerana mandat yang diterima daripada rakyat perlu dikembalikan dalam bentuk perkhidmatan dan kebajikan.

“Daripada rakyat kita mendapat mandat, kepada rakyat kita kembali berkhidmat dan untuk rakyatlah segala usaha ini kita gerakkan,” katanya.

Mengulas dakwaan program turun padang itu sekadar persiapan menghadapi pilihan raya, Ab Rauf berkata, beliau tidak mengambil hati terhadap pandangan berkenaan kerana pendekatan tersebut bukan perkara baharu.

Dalam pada itu, beliau berkata, Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Machap Jaya yang merupakan siri ke-14 membawa lebih 15 bentuk sumbangan dan inisiatif dengan peruntukan keseluruhan kira-kira RM150,000 untuk manfaat penduduk kawasan berkenaan.

Katanya, antara bantuan disalurkan ialah penyerahan kunci rumah baharu bernilai RM70,000 kepada Ishak Alin di Kampung Bukit Bulat menerusi inisiatif Melaka Rumahku.

Selain itu ujarnya, sebanyak 26 jenis bantuan perumahan bernilai RM649,000 turut disediakan bagi manfaat 25 keluarga di DUN Machap Jaya menerusi kerjasama Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Katanya, selain itu, sebanyak RM5,100 disalurkan menerusi Sumbangan Ziarah Kasih kepada 51 penerima, manakala 204 ketua isi rumah daripada tujuh perkampungan Orang Asli menerima sumbangan beras. – UTUSAN

The post Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bukan kempen politik – Ab Rauf appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved