Jemaah masjid jahit Jalur Gemilang 6.9 meter semarak sambutan Merdeka ke-69

16 Sep 2026 • 12:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jemaah masjid jahit Jalur Gemilang 6.9 meter semarak sambutan Merdeka ke-69
Jalur Gemilang yang dijahit oleh jemaah sebagai simbolik 69 tahun Kemerdekaan ditunjukkan kepada orang ramai. 
Image from: Jemaah masjid jahit Jalur Gemilang 6.9 meter semarak sambutan Merdeka ke-69
Antara basikal berhias yang dijadikan replika kereta kebal selain diletakkan bendera Malaysia. 

KOTA BHARU – Jalur Gemilang sepanjang 6.9 meter, simbolik 69 tahun kemerdekaan yang dijahit sendiri oleh jemaah Masjid Mukim Jembal Tok Ku di sini menyemarakkan lagi semangat patriotik komuniti setempat.

Imam Tua Masjid Mukim Jembal Tok Ku, Ahmad Taqiyuddin Mohd Saleh berkata, penghasilan Jalur Gemilang itu merupakan antara inisiatif sambutan penutup Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2026 yang julung kali dianjurkan pihak masjid.

Menurutnya, bendera berkenaan dijahit oleh jemaah wanita masjid menggunakan mesin jahit dan disiapkan dalam tempoh sehari.

“Persiapan program ini mengambil masa kira-kira dua bulan menerusi gotong-royong dan dana masjid.

“Jalur Gemilang ini dijahit bersama-sama jemaah wanita dan menjadi antara simbolik sambutan yang kita adakan,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata, program tersebut turut menghimpunkan kira-kira 200 peserta daripada komuniti setempat, termasuk penyertaan dalam perarakan basikal berhias bertemakan Merdeka sejauh 3.3 kilometer.

“Penyertaan datang daripada penduduk di sembilan kampung dan kita berharap aktiviti ini dapat menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan masyarakat,” katanya.

**media[3649185]**

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Profesor Dr Arham Abdullah yang hadir merasmikan program berkata, kerjasama antara universiti, agensi dan komuniti penting dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan serta memperkukuh perpaduan masyarakat.

Menurutnya, Masjid Mukim Jembal Tok Ku merupakan Masjid Angkat Madani UMK yang menjadi wadah kerjasama universiti bersama masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Masjid merupakan satu tempat untuk mengumpulkan masyarakat bersama-sama dan aktiviti seperti ini menunjukkan kolaborasi antara universiti, agensi serta masyarakat bergabung tenaga untuk menyemarakkan semangat Kemerdekaan.

“Di UMK, kami melaksanakan pelbagai aktiviti bersama masjid, termasuk penambahbaikan fasiliti dan program kemasyarakatan,” katanya.

Program sambutan tersebut turut diserikan dengan pertandingan mewarna, melukis poster selain penyertaan Rukun Tetangga, Bomba Sukarelawan Kota Jembal dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved