KUALA LUMPUR - Anggota Jemaah Menteri diminta sentiasa menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh integriti serta mengutamakan kepentingan rakyat.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, keutamaan kerajaan antara lain ialah menitikberatkan kesejahteraan rakyat, kestabilan negara serta kemakmuran ekonomi, seiring dengan prinsip tadbir urus yang baik.
Titah baginda, anggota Jemaah Menteri perlu bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan pentadbiran negara berjalan dengan cekap dan berkesan.
“Menteri dan Timbalan Menteri perlu sentiasa turun padang mendengar suara rakyat.
“Anda perlu menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi dan komitmen tinggi,” titah Seri Paduka Baginda hari ini.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan.
Majlis yang berlangsung di Istana Negara itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Istiadat berkenaan diadakan di Singgahsana Kecil Istana Negara melibatkan tujuh Menteri dan lapan Timbalan Menteri.
Pada istiadat terbabit, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Turut menerima surat cara pelantikan menteri adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan dan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.
Semua Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik turut menandatangani dokumen rasmi pelantikan di hadapan Ketua Hakim Negara dan Ketua Setiausaha Negara. - Getaran, 17 Disember 2025

