
PUTRAJAYA: Jemputan kepada bekas Perdana Menteri (PM) bagi menghadiri sambutan Hari Kebangsaan tidak dibuat secara automatik sejak 2018.
Itu penjelasan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, Datuk Abdul Halim Hamzah berhubung kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dataran Putrajaya pagi tadi.
Katanya, Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan 2026 mengambil maklum beberapa pertanyaan berhubung kehadiran Dr. Mahathir pada acara sambutan hari ini.
“Berdasarkan pengesahan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan jemputan bagi acara rasmi utama kerajaan, terdapat tatacara pengurusan jemputan yang berkuat kuasa bagi sambutan Hari Kebangsaan.
“Berdasarkan amalan sejak tahun 2018, jemputan ke sambutan Hari Kebangsaan tidak dipanjangkan secara automatik kepada mantan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Bagaimanapun, katanya, kehadiran mana-mana bekas pemimpin tidak dihalang dan boleh diuruskan melalui permohonan pihak berkenaan selaras tatacara serta pengurusan jemputan rasmi yang ditetapkan.
“Pada masa sama, pihak urus setia turut menerima makluman daripada Pejabat Perdana Menteri yang memaklumkan Dr. Mahathir akan ke luar negara dari 28 hingga 31 Ogos berdasarkan permohonan Kemudahan Berehat ke Luar Negara.
“Ia telah diterima dan diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaras dengan ketentuan Saraan Bekas Perdana Menteri di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237],” katanya.
Hari ini, Dr. Mahathir memilih cara tersendiri menghayati Sambutan Hari Kebangsaan 2026 apabila turun padang bersama rakyat di Dataran Putrajaya.
Berbeza dengan kebiasaan tokoh kenamaan yang menyaksikan acara dari lokasi khas, Dr. Mahathir dilihat berada berhampiran orang ramai di tepi kawasan sambutan, malah sanggup berpanas di bawah terik matahari demi merasai sendiri kemeriahan acara tahunan berkenaan.
Kehadiran tokoh berusia 101 tahun itu turut mencuri perhatian pengunjung yang berada di sekeliling kawasan berkenaan, dengan ada yang mengambil peluang melambai, merakam video serta mengabadikan kenangan bersama beliau. – UTUSAN
The post Jemputan bekas PM hadir sambutan merdeka tidak dibuat sejak 2018 appeared first on Utusan Malaysia.






