SHAH ALAM - Bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) buat julung kalinya tampil menerusi kereta berhias bertemakan “PERKESO LINDUNG Semua”, yang mengetengahkan keseluruhan ekosistem perlindungan sosial kepada masyarakat.
Ketua Penjenamaan, Media dan Perhubungan Awam PERKESO, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, kereta berhias berasaskan trak casis itu berukuran 44 kaki panjang, 14 kaki tinggi dan antara 10 hingga 12 kaki lebar.
Jelas beliau, rekaannya membawa konsep perkasa, melindungi dan harmoni, merentasi kaum, lapisan masyarakat serta pelbagai sektor pekerjaan.
"Reka bentuk futuristik, moden dan dinamik itu menggabungkan empat warna utama LINDUNG, iaitu hijau, oren, biru gelap dan merah jambu.
"Jalur Gemilang diletakkan tinggi dan jelas, manakala bunga raya sebagai bunga kebangsaan menghiasi sepanjang sisi kenderaan.
"Setiap elemen membentuk hubungan simbolik antara kemerdekaan negara, perlindungan sosial dan keupayaan rakyat untuk terus bekerja, membina kerjaya serta hidup berdikari," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Tengku Khalidah, kereta berhias itu bukan sekadar menggambarkan PERKESO sebagai institusi yang membayar faedah, sebaliknya membawa mesej bahawa setiap pekerja berhak dilindungi.
Jelasnya, selain itu setiap keluarga wajar mempunyai jaringan keselamatan apabila berhadapan dengan perkara yang tidak diduga.
"Caruman yang dibayar hari ini merupakan perlindungan untuk diri pekerja, keluarga dan masa hadapan.
"Prinsip itu selari dengan objektif penubuhan PERKESO untuk melindungi pekerja, memelihara kebajikan serta membantu mereka meneruskan kehidupan dengan bermaruah," ujarnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, teknologi rehabilitasi lambang harapan baharu adaptasi teknologi dan kecerdasan buatan menjadi antara tarikan utama kereta berhias PERKESO menerusi paparan skrin LED.
"Antara teknologi yang diketengahkan ialah perkhidmatan Rehabilitasi Neuro-Robotik menerusi penggunaan Robot Suit iaitu teknologi robotik yang membantu memulihkan, menyokong dan meningkatkan tahap kefungsian serta mobiliti kaki pesakit.
"Dalam masa sama, PERKESO memastikan apabila musibah datang, pekerja dan keluarga mereka tidak perlu menghadapinya sendirian.
"Daripada perlindungan pendapatan dan rawatan perubatan kepada rehabilitasi serta sokongan kembali bekerja, PERKESO hadir sepanjang perjalanan pemulihan seseorang pekerja. Inilah makna sebenar ‘PERKESO LINDUNG Semua," katanya.






