SHAH ALAM - Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan 2026 memberi penjelasan berhubung tatacara pengurusan jemputan yang berkuat kuasa bagi hari tersebut.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, ia dibuat susulan beberapa pertanyaan berhubung kehadiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pagi Isnin.
Menurutnya, berdasarkan pengesahan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan jemputan bagi acara-acara rasmi utama Kerajaan Persekutuan.
"Terdapat tatacara pengurusan jemputan yang berkuat kuasa bagi Sambutan Hari Kebangsaan.
"Berdasarkan amalan sejak tahun 2018, jemputan ke Sambutan Hari Kebangsaan tidak dipanjangkan secara automatik kepada mantan Perdana Menteri.
"Bagaimanapun, kehadiran mana-mana bekas pemimpin tidak dihalang dan boleh diuruskan melalui permohonan pihak berkenaan, selaras dengan tatacara serta pengurusan jemputan rasmi yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Dr Mahathir mencuri tumpuan apabila hadir ke Dataran Putrajaya bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 di sini pada Isnin.
Menerusi video penstriman langsung TikTok @chedetofficial, tokoh negarawan berusia 101 tahun itu dilihat melambaikan tangan ke arah pengunjung sambil duduk di atas kerusi roda elektrik.
Abdul Halim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 memberitahu, pada masa sama, pihak Urus Setia turut menerima makluman daripada Pejabat Perdana Menteri yang memaklumkan bahawa Dr Mahathir akan ke luar negara dari 28 hingga 31 Ogos 2026.
"Ia berdasarkan permohonan Kemudahan Berehat ke Luar Negara yang telah diterima dan diluluskan oleh Perdana Menteri, selaras dengan ketentuan Saraan Bekas Perdana Menteri di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].
"Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan 2026 merakamkan penghargaan atas perhatian dan pemahaman semua pihak," ujarnya.






