SHAH ALAM – Kerajaan Selangor digesa kaji semula lantikan Datuk Noorazli Said sebagai Penyelaras DUN Dengkil susulan kenyataan kontroversinya ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Abbas Azmi berkata, individu yang tidak memahami keadaan masyarakat di negeri ini tidak seharusnya dilibatkan bersama dalam pentadbiran.
ARˇIKLE BERKAITAN: Jenaka paderi dan biarawati: Siasat jika langgar undang-undang - Menteri Perpaduan
Jenaka paderi dan biarawati: 'Dengan penuh rendah hati saya sedia mohon maaf' - Noorazli
'Sokong Akmal, agama bukan bahan jenaka' - Naib Pengerusi DAP Johor
Perbezaan politik bukan lesen permainkan agama, ucapan tidak wajar -Arthur
'Jika lawak paderi digantikan imam, orang Islam pasti kita juga akan marah' - Akmal Saleh
“Hormat-menghormati antara satu sama lain adalah amalan sekian lama masyarakat di negara ini. Menjadikan ketua agama lain sebagai bahan ketika berbahas adalah sesuatu yang dangkal dan berlawanan dengan konsep beragama di dalam negara Malaysia.
“Harus diingat, negara Malaysia ini adalah sebuah negara berbilang kaum, bangsa dan agama. Islam sebagai agama rasmi negara Malaysia dan agama lain bebas dianuti,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ketua UMNO Bahagian Sepang itu mencetuskan kontroversi apabila menceritakan jenaka yang menggunakan watak seorang paderi dan biarawati serta penggunaan Surah Mazmur dalam kitab Injil ketika memberikan ucapannya dalam perhimpunan terbesar parti berkenaan.
Susulan kenyataan kontroversinya itu, Noorazli dikecam pelbagai pihak sebelum beliau mengambil tindakan memohon maaf jika ucapannya menyinggung perasaan, sambil menjelaskan analogi yang digunakan bukan bertujuan mempersenda individu, kepercayaan atau agama.
Mengulas lanjut, Abbas menegaskan agar semua kepimpinan kerajaan negeri itu mengambil tindakan segera terhadap Noorazli bagi memastikan keharmonian dan perpaduan di Selangor serta negara ini terus terpelihara.
Menurutnya, Noorazli tidak menunjukkan ciri-ciri kepimpinan negara yang baik serta berlawanan dengan konsep beragama di negara ini.
“Perbahasan seperti yang diungkapkan oleh Noorazli ini boleh menimbulkan ketidakselesaan dalam masyarakat dan tidak menepati apa yang Islam ajar.
“Kenyataan yang sebegini boleh keluar daripada seorang pimpinan yang sekarang ini diberi tugas sebagai Penyelaras DUN Dengkil amatlah tidak bertepatan dengan keadaan masyarakat di negeri ini,” tambahnya.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan, hormat-menghormati antara satu sama lain amat penting kerana ia telah menjadi amalan masyarakat setelah sekian lama di negara ini.
“Menjadikan ketua agama lain sebagai bahan ketika berbahas adalah sesuatu yang dangkal dan berlawanan dengan konsep beragama di dalam negara Malaysia,” tegasnya.






