SHAH ALAM - Kementerian dan agensi penguatkuasaan berkaitan diminta meneliti serta menyiasat ucapan yang menjadikan paderi Katolik dan biarawati sebagai bahan jenaka ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kebebasan untuk berucap, berpolitik atau berjenaka tidak bermaksud seseorang bebas melanggar sensitiviti agama dan kepercayaan orang lain.
Katanya, prinsip itu mesti terpakai kepada semua pihak tanpa mengira agama, kaum, kedudukan mahupun fahaman politik.
"Apa juga niat di sebalik sesuatu analogi, perkara yang menyentuh institusi keagamaan, agamawan, kitab suci atau kepercayaan mana-mana penganut tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh dianggap sebagai perkara remeh.
“Agama bukan bahan jenaka. Perkara yang mempunyai nilai suci dan dihormati oleh sesuatu komuniti tidak wajar dipersenda, dijadikan bahan gurauan berunsur seksual atau digunakan semata-mata untuk mendapatkan gelak ketawa dan tepukan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said mencetuskan kontroversi apabila menceritakan jenaka yang menggunakan watak seorang paderi dan biarawati serta penggunaan surah Mazmur dalam Bible ketika memberikan ucapannya dalam PAU 2026.
Kontroversi berkenaan kemudiannya berkembang apabila jurucakap UMNO Selangor itu dilaporkan bersedia memohon maaf jika ucapannya menyinggung perasaan, sambil menjelaskan analogi digunakan bukan bertujuan mempersenda individu, kepercayaan atau agama.
Mengulas lanjut Aaron menegaskan, perbuatan sedemikian boleh menyinggung perasaan penganut agama serta menjejaskan keharmonian yang telah dibina bersama selama ini.
Sehubungan itu, Aaron meminta agensi penguatkuasaan menyiasat jika terdapat unsur pelanggaran undang-undang, termasuk di bawah Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam masa sama, beliau turut mengambil maklum kesediaan Noorazli untuk memohon maaf berhubung ucapannya yang dikeluarkan.
"Saya berharap perkara berkenaan menjadi pengajaran kepada semua pemimpin, penceramah dan masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam memilih kata-kata, khususnya apabila menyentuh perkara berkaitan agama dan kepercayaan.
"Perkara itu juga selaras dengan prinsip kelima Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan yang menuntut setiap rakyat menjaga adab, tutur kata dan tingkah laku dalam kehidupan bermasyarakat.
“Dalam negara yang berbilang agama dan budaya, prinsip ini bukan sekadar ungkapan, tetapi asas penting untuk memastikan perbezaan dihormati, sensitiviti dipelihara dan keharmonian terus dipertahankan,” katanya.






