Jenaka Seksual Babitkan Paderi Dan Rahib Di PAU, ‘Perwakilan Itu Perlu Mohon Maaf’ - Pemimpin Sabah

LocalPolitics
14 Sep 2026 • 8:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Jenaka Seksual Babitkan Paderi Dan Rahib Di PAU, ‘Perwakilan Itu Perlu Mohon Maaf’ - Pemimpin Sabah

KOTA KINABALU - Beberapa pemimpin politik Sabah mengecam tindakan seorang perwakilan UMNO yang didakwa membuat jenaka berunsur seksual membabitkan paderi dan rahib Katolik ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, baru-baru ini.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, golongan paderi dan rahib Katolik tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka atau sindiran berunsur seksual, khususnya dalam sebuah perhimpunan politik nasional.

Madius, yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, alasan bahawa kenyataan berkenaan sekadar gurauan atau sindiran tidak boleh dijadikan justifikasi kerana ia amat tidak wajar dan boleh menyinggung perasaan masyarakat Kristian di seluruh negara.

“Individu berkenaan sewajarnya mengakui kesilapan pertimbangannya, menarik balik rujukan yang tidak tepat terhadap Mazmur 129 serta menyampaikan permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat kepada umat Katolik dan seluruh masyarakat Kristian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas ucapan seorang perwakilan UMNO yang memetik kisah membabitkan seorang paderi dan rahib, termasuk merujuk kepada Mazmur 129, sebagai sebahagian daripada ucapannya.

Berdasarkan laporan mengenai ucapan tersebut, kisah berkenaan digunakan bagi menggambarkan kepentingan seseorang untuk kekal fokus serta memahami matlamat yang ingin dicapai.

Menyuarakan pendapat senada, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai tidak menghormati sensitiviti dan perasaan masyarakat Kristian di negara ini.

Salleh, yang juga Bendahari UMNO Sabah berkata, jenaka berunsur seksual membabitkan rahib dan paderi Katolik tidak boleh diterima, justeru pemimpin UMNO yang terlibat perlu tampil memohon maaf secara terbuka.

“Pemimpin UMNO berkenaan seharusnya menyampaikan permohonan maaf secara terbuka dan ikhlas. Ini bukan soal politik, sebaliknya soal rasa hormat, tanggungjawab serta memahami batas yang tidak seharusnya dilanggar.

“Di Sabah, umat Islam, Kristian dan penganut agama lain telah lama hidup bersama dalam suasana saling menghormati.

“Semangat toleransi dan keharmonian ini perlu terus dipelihara. Jika sesuatu perkara itu salah, kita perlu berani mengatakannya sebagai salah, tanpa mengira siapa yang melakukannya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya. - Getaran, 14 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved