Jenama perhiasan mewah, Damiani kini rasmi dibuka di The Exchange TRX

26 Aug 2024 • 4:00 PM MYT
LifestyleAsia MY
LifestyleAsia MY

Your access to the good life in Malaysia

image is not available

Damiani, jenama perhiasan mewah terkemuka dari Itali, kini mencipta sejarah di Kuala Lumpur dengan pembukaan butik ikoniknya di SEIBU, The Exchange TRX. Pembukaan ini tidak hanya menandakan kehadiran pertama mereka di Malaysia, tetapi juga memperkenalkan koleksi seratus tahun yang luar biasa, menampilkan kemewahan dan seni pertukangan yang telah dicipta selama satu abad.

Turut menerujakan apabila jenama global ini telah mengumpulkan 15 masterpiece yang diterbangkan khas dari Valenza, Itali, untuk disajikan kepada para pencinta perhiasan tempatan. Jelas sekali, ini adalah satu perayaan keindahan, inovasi, dan warisan yang cukup memukau.

Perayaan seratus tahun bagi Damiani

image is not available
Kredit: Damiani

Sebagai tanda penghormatan kepada warisan gemilang mereka, jenama dari Itali ini telah mencipta koleksi centenary yang istimewa, terdiri daripada 100 karya seni yang memukau—satu untuk setiap tahun perjalanan mereka dalam dunia perhiasan mewah. Setiap karya dalam koleksi ini dihasilkan dengan batu permata yang paling unik dan memukau, memperlihatkan ketukangan emas Itali yang tiada tandingan. Koleksi ini menjadi simbol kepada komitmen Damiani terhadap inovasi dan keunggulan, serta peluang yang jarang sekali untuk menyaksikan warisan dan seni Damiani di Kuala Lumpur.

Butik Damiani kini di The Exchange TRX

image is not available
Kredit: Damiani

Pelancaran butik Damiani di SEIBU, The Exchange TRX baru-baru ini disambut dengan penuh kemeriahan, dihadiri oleh tetamu-tetamu kehormat termasuk Encik Mauro Malta, Pengarah Wilayah Asia Pasifik dan Jepun di Damiani Group; Encik Yutani Nobuhara, Pengarah Urusan Seibu KL; Puan Lee Sze Suen, Pengasas SUEN Jewellers; Encik Chan Wey Yie, Pengarah Eksekutif SUEN; dan selebriti terkenal, Joe Flizzow.

Majlis ini dimulakan dengan upacara memotong reben yang penuh simbolik, menandakan permulaan baru bagi jenama ini di Kuala Lumpur. Momen ini mencerminkan dedikasi Damiani untuk mengembangkan warisan Itali mereka yang kaya dengan budaya dan seni ke pasaran mewah Malaysia yang sedang berkembang pesat.

Menurut Encik Mauro Malta, “Pembukaan butik Damiani di SEIBU, The Exchange TRX bukan sahaja membuka bab baru dalam sejarah kami tetapi juga tanda komitmen kami untuk memperluas keunggulan Itali ke seluruh dunia. Kami sangat teruja untuk berkongsi warisan seratus tahun kami dengan pasaran Malaysia dan berharap dapat mencetuskan apresiasi baru terhadap seni dan keanggunan yang menjadi identiti Damiani.”

Menerusi acara pelancaran butik tersebut, tetamu dan wakil media turut berpeluang menyaksikan koleksi centenary Damiani yang menakjubkan. Koleksi ini adalah kemuncak seni haute joaillerie, di mana setiap perhiasan menceritakan kisah tentang semangat, warisan, dan ketukangan yang tidak ternilai harganya.

Antara koleksi yang paling memukau adalah Mimosa Aurora, sebuah ciptaan menakjubkan dengan batu permata seberat 123.84 karat, yang menjadi lambang keupayaan Damiani untuk mencari dan menghasilkan permata yang paling luar biasa di dunia.

image is not available
Kredit: Damiani

Fantasy Cut Seta pula menampilkan spinel biru kobalt, salah satu permata yang paling jarang ditemui di dunia. Warna biru yang mendalam dan gemilang, bersama keunikannya, menggambarkan keberanian dan inovasi dalam falsafah reka bentuk Damiani.

Seni pertukangan yang tiada tandingan

Ditubuhkan di Valenza pada tahun 1924 oleh Enrico Damiani, jenama ini menjadi simbol kepada ketukangan emas yang luar biasa. Selama hampir satu abad, setiap perhiasan telah dihasilkan dengan penuh ketelitian di Itali, menampilkan reka bentuk eksklusif dan batu permata yang terbaik. Warisan Enrico terus hidup melalui cucu-cucunya—Guido, Silvia, dan Giorgio—yang kini memimpin syarikat dengan dedikasi yang mendalam terhadap ekspresi seni dan inovasi.

Jenama mewah ini tidak hanya diiktiraf di peringkat antarabangsa, tetapi juga telah menerima hampir 18 Anugerah Berlian Antarabangsa—dikenali sebagai “Oscar Industri Perhiasan”. Penghargaan ini menekankan komitmen Damiani terhadap keunggulan dalam ketukangan, gaya, dan reka bentuk Itali, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju inovasi perhiasan mewah di seluruh dunia.

Untuk menyelami lebih lanjut dunia magis jenama perhiasan mewah ini, anda boleh melayari laman web mereka atau ikuti mereka di Facebook. 

Moga artikel ini bermanfaat bagi anda semua.

Baca artikel mengenai gaya hidup, tempat makan menarik, fesyen terkini, kecantikan dan kesihatan, serta gosip artis popular di Lifestyle Asia Malaysia


(Kredit gambar Hero dan Featured: SUEN Jewellers)

The information in this article is accurate as of the date of publication.