Jenazah Dr. Ainul, Kapten Zainol Afiq dibawa pulang hari ini

13 Sep 2026 • 8:05 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jenazah Dr. Ainul, Kapten Zainol Afiq dibawa pulang hari ini

PETALING JAYA: Jenazah pegawai perubatan, Dr. Ainul Baraah Kamarudin, 33, dan juruterbang helikopter BO 105S, Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, yang maut dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing hari ini.

Jenazah Dr. Ainul Baraah dijangka tiba di Masjid Al-Ka­ramah, Kampung Baung, Kota Bharu, Kelantan kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Ahli keluarga terdekat Allahyarham bagaimanapun berkata, waktu ketibaan itu masih tertakluk kepada jadual penerba­ngan yang ditetapkan pihak berwajib di Sarawak.

Katanya, sebaik tiba Kelantan, jenazah dijangka dibawa ke Masjid Al-Karamah, Kampung Baung, Kota Bharu untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper.

“Apabila tiba di Kelantan, jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Karamah, Kampung Baung kira-kira pukul 12 tengah hari untuk disolatkan sebelum di­semadikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.

Sementara itu, jenazah Zai­nol Afiq akan dibawa pulang ke Negeri Sembilan selepas proses pengesahan identiti menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selesai.

Bapanya, Bee Sham Ahmad, 59, berkata, keputusan DNA dimaklumkan kepadanya semalam dan keluarga kini bersedia menerima kepulangan jenazah anaknya untuk urusan pengebumian.

“Hari ini (semalam) dimaklumkan keputusan DNA diperoleh. Kalau semuanya selesai, jenazah akan dibawa pulang dan segala persiapan sudah pun dibuat,” katanya.

Menurutnya, sebaik tiba dari Sarawak, jenazah anaknya akan dibawa terus ke Masjid Bandar Baru Senawang, Seremban untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang, Seremban kira-kira pukul 5.30 petang.

Bee Sham bersama isterinya dan besan sebelum ini berangkat ke Sarawak sejak Rabu lalu bagi menunggu proses pengesahan identiti, selepas sampel DNA mereka diambil sebaik tiba di negeri berkenaan.-UTUSAN

The post Jenazah Dr. Ainul, Kapten Zainol Afiq dibawa pulang hari ini appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved