Jenazah Koperal Mohamad Nur Hafiz selamat dikebumikan di Kelantan

8 Aug 2026 • 9:14 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jenazah Koperal Mohamad Nur Hafiz selamat dikebumikan di Kelantan
Jenazah Mohamad Nur Hafiz (gambar kecil) selamat dikebumikan di di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pangkal Kuang, Ketereh, Kota Bharu pada Sabtu.
Image from: Jenazah Koperal Mohamad Nur Hafiz selamat dikebumikan di Kelantan
Wakil dari Polis Kelantan dan rakan setugas Allahyarham yang turut hadir pada pengebumian.
Image from: Jenazah Koperal Mohamad Nur Hafiz selamat dikebumikan di Kelantan
Ibu dan adik-beradik bersedih mengiringi pemergian Mohamad Nur Hafiz.

KOTA BHARU – Jenazah Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim, 29, yang terkorban dalam tragedi renjatan elektrik di Sabah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pangkal Kuang, Ketereh,di sini pada Sabtu.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di Kuantan, Pahang dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis Airbus A400M sebelum dibawa pulang ke kediaman keluarga di Kampung Hutan Pasir, Ketereh.

**media[3608764]**

Ketibaan jenazah pada jam 4.45 pagi disambut lebih 100 ahli keluarga, saudara-mara, rakan setugas serta penduduk setempat yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir dan disolatkan.

Suasana pilu menyelubungi sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Pangkal Kuang selepas Subuh untuk disemadikan dan selesai dikebumi pada jam 7.45 pagi.

Allahyarham merupakan antara tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang maut akibat renjatan elektrik dalam kejadian di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah pada Khamis.

**media[3608759]**

Dua lagi anggota yang terkorban ialah Koperal Chiu Teck Siong, 40, berasal dari Sarawak dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26, dari Terengganu.

Sebelum itu, ketiga-tiga jenazah dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu pada jam 2.50 petang sebelum bergerak secara konvoi dengan iringan kenderaan PDRM.

Jenazah Teck Siong diterbangkan ke Sibu, Sarawak menggunakan pesawat Pasukan Gerakan Udara (PGU), manakala jenazah Mohamad Nur Hafiz dan Muhammad Raimi dibawa ke Masjid Nurul Iman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah untuk disolatkan.

Selepas itu, kedua-dua jenazah dihantar ke Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebelum diterbangkan ke Semenanjung menggunakan pesawat TUDM.

Dalam kejadian jam 5.45 petang Khamis itu, tiga anggota polis terbabit dipercayai maut akibat renjatan elektrik selepas galah besi yang digunakan untuk mengait buah kelapa terkena kabel elektrik.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved