
DUNGUN – Jenazah Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 24, yang merupakan salah seorang daripada tiga anggota polis maut akibat terkena renjatan elektrik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh 2, di sini, awal pagi tadi.
Allahyarham Muhammad Raimi bertugas di Balai Polis Weston, Beauford, Sabah sejak tahun 2024 selamat dikebumikan pada pukul 1.15 pagi.
Terdahulu, jenazah Muhammad Raimi yang dibawa pulang dari Kota Kinabalu, Sabah dengan menggunakan pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis Airbus A400M tiba di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.
Jenazah Allahyarham kemudiannya dihantar pulang dengan menggunakan van jenazah Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke kampung halamannya di Felda Kerteh 2, di sini.
Sebaik tiba pada pukul 11.40 malam tadi, jenazah Muhammad Raimi terus disolatkan dengan diimamkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Terengganu, Datuk Satiful Bahari Mamat.
Jenazahnya kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan dengan diiringi lebih 200 ahli keluarga, penduduk kampung serta pegawai dan anggota polis termasuk Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat pada pukul 12.15 tengah malam.
Terdahulu Allahyarham Muhammad Raimi maut bersama dua rakannya iaitu Koperal Chiu Teck Siong, 40, dan Koperal Muhamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, akibat terkena renjatan elektrik sewaktu mengalihkan galah besi berhampiran Sekolah Kebangsaan Weston pada pukul 5.50 petang, kelmarin. – KOSMO! ONLINE
The post Jenazah Konstabel Raimi selamat dikebumikan appeared first on Kosmo Digital.






