Jenazah pelajar maut di sekolah selesai dibedah siasat

LocalPolitics
19 Nov 2026 • 5:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jenazah pelajar maut di sekolah selesai dibedah siasat
Van jenazah yang membawa jenazah pelajar tingkatan tiga yang maut di sebuah sekolah di negeri ini semalam beredar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping pada Khamis untuk dibawa ke tanah perkuburan bagi urusan pengebumian. Foto: Bernama

TAIPING - Proses bedah siasat pelajar tingkatan tiga yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, pada Rabu, selesai tengah Khamis.

Proses bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping bermula kira-kira jam 10 pagi Khamis, selesai kira-kira jam 1.10 tengah hari.

Selepas selesai urusan dokumentasi dan pengurusan jenazah, van membawa jenazah Allahyarham dilihat keluar meninggalkan pekarangan jabatan itu pada jam 3.25 petang bagi urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Juasseh, Juasseh, Negeri Sembilan.

Suasana pilu menyelubungi pekarangan jabatan itu apabila waris serta warga sekolah terbabit berkumpul sejak pagi Khamis bagi menanti urusan bedah siasat.

Sepanjang tempoh berkenaan, ahli keluarga terdekat termasuk bapa Allahyarham dan isterinya serta wakil pihak sekolah kelihatan tenang, namun tidak dapat menyembunyikan kesedihan sambil saling menenangkan antara satu sama lain di ruang menunggu jabatan itu.

Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Datuk Zulkafli Mohamed Mokhtar juga hadir di jabatan forensik itu kira-kira jam 1.55 tengah hari.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak pada Rabu mengesahkan seorang pelajar tingkatan tiga ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar.

Susulan kejadian itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus tanpa sebarang kompromi sekiranya terdapat unsur kecuaian atau pelanggaran prosedur keselamatan. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved