Jenazah Tersadai Di Liang Lahad Lebih 1 Jam, Masjid Didakwa Minta RM1,400 Untuk Pengebumian [Video]

26 Jun 2026 • 1:01 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Jenazah Tersadai Di Liang Lahad Lebih 1 Jam, Masjid Didakwa Minta RM1,400 Untuk Pengebumian [Video]

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Urusan menyegerakan pengebumian jenazah merupakan satu perkara yang dituntut dalam Islam.

Namun sejak semalam (25 Jun), kecoh di media sosial mengenai jenazah lelaki yang ditahan pengebumiannya di sebuah tanah perkuburan di Kampung Pandan, Ampang, Selangor.

Jenazah Terbiar Dalam Liang Lahad Tetapi Tak Boleh Dikebumikan, Pihak Masjid Didakwa Tuntut RM1,400 Urusan Pengebumian

Menerusi video yang dikongsikan oleh Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Wan Cai di Facebook, urusan jenazah seorang lelaki tergendala dipercayai gara-gara tindakan pihak masjid yang meminta waris membayar RM1,400 bagi urusan pengebumian.

Sedangkan jenazah tersebut telahpun diuruskan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan hanya tinggal untuk dikebumikan.

Apa yang lebih menyedihkan, jenazah itu yang telahpun berada di liang lahad terpaksa dibiarkan menunggu selama satu jam 20 minit disebabkan isu tersebut.

“Keadaan kecoh bila mana pihak masjid menghalang Badan Kebajikan Silaturrahim (BKS) menguruskan jenazah ahli BKS sendiri untuk uruskan jenazah.

“Jenazah dah sampai lama, dah urus lama dah tetapi apa yang berlaku ialah jenazah dah di liang lahad tetapi tidak boleh dikebumikan lagi.

“Ahli waris ditekan oleh pihak masjid seolah-olah untuk bersetuju menyerahkan pengurusan jenazah tadi ke pihak masjid yang bernilai caj pengurusan sebanyak RM1,400.

“Jenazah dah berada di liang lahad tetapi masih tidak boleh ditanam, ini keadaan yang berlaku,” jelas individu dalam video berkenaan.

Pihak Masjid Didakwa Turut Tahan Permit Kematian

Menerusi hantaran berasingan, pihak masjid juga didakwa turut menahan permit kematian.

“Dalam video kedua, terdengar ayat permit kematian ditahan oleh pihak masjid. Persoalannya kenapa permit tersebut ditahan? Siapa individu yang menahan permit tersebut.

“La (sekarang) ni jenazah dah ada dalam liang. Patut selesaikan dahulu urusan pengebumian.

“Bila jenazah dah kebumi, barulah bincang permasalahan yang ada. Ini korang sidai jenazah lama-lama dah kenapa? Segerakan urusan jenazah, bukan dipersulitkan,” kata Wan Cai.

Jenazah Dipercayai Ditahan Kerana Laporan Polis Dibuat Pihak Masjid

Berdasarkan kronologi kejadian yang dikongsikan oleh bekas guru, Mohd Fadhli Salleh di Facebook, urusan pengebumian jenazah tergendala selama lebih satu jam dek kerana laporan polis yang didakwa dibuat oleh pihak masjid.

“Bapa arwah merupakan Ahli BKS Kampung Pandan Dalam. Bapa arwah minta BKS untuk uruskan jenazah anak. BKS telah uruskan ambil jenazah di Hospital Ampang, mandi jenazah dan solatkan jenazah.

“Selepas selesai urusan tersebut, bapa arwah minta Borang Kebenaran Pengkebumian Jenazah Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kepada pihak pengurusan masjid, kemudiannya pihak pengurusan masjid menyatakan akan caj ahli waris sebanyak RM1,400.00 untuk urusan jenazah.

“Tetapi bapa arwah tetap nak BKS yang uruskan, malangnya pihak pengurusan Masjid ***, Kampung Pandan Dalam di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menyekat Borang Permohonan dan mengambil Permit Kubur dari waris.

“Keluarga terus meminta untuk BKS bawa jenazah ke Tanah Perkuburan Ukay Perdana, tiba-tiba ada dua anggota polis menyatakan bahawa pengkebumian jenazah tidak boleh diteruskan kerana ada report dari pihak Pengurusan Masjid *** sehinggalah ahli waris keluarga arwah terpaksa tunggu lebih satu jam.

“Selepas pihak Pengurusan Masjid *** datang ke Tanah Perkuburan Ukay Perdana, barulah pihak polis, penyelia kubur benarkan BKS meneruskan pengkebumian jenazah,” katanya.

Wan Cai Minta BKS & Waris Buat Laporan Polis, Patut Memudahkan Urusan Pengebumian Jenazah

Memetik Utusan Online, Wan Cai memaklumkan dia telahpun menghubungi serta mendapatkan penjelasan daripada pihak BKS berhubung kejadian berkenaan.

Jelas Wan Cai, dia telahpun meminta NGO berkenaan serta ahli keluarga terlibat membuat laporan polis.

Ini kerana terang Wan Cai, urusan pengebumian jenazah perlu diutamakan berbanding urusan lain termasuklah pertikaian.

“Jadi, sepatutnya walaupun ada pertikaian, jenazah sudah masuk dalam liang lahad, terus kebumikan dahululah, kenapa arwah pula kena jadi mangsa. Kita yang hidup kena selesaikan.

“Tadi saya sudah berbincang dan minta BKS serta ahli keluarga buat laporan polis. BKS beritahu perkara sebegini sudah banyak kali terjadi dan pernah membuat aduan kepada pihak berwajib, tetapi tiada respon dan disebabkan itu kali ini insiden itu dimuat naik dalam sosial,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Padah Minta Suapan Urus Jenazah, 2 Pembantu Kesihatan Ditahan SPRM

Baca Artikel Berkaitan: Exco Selangor Cadang Tabung Kecemasan Diwujudkan, Bantu Permudah Tuntut Jenazah Di Hospital

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved