
TULAR di media sosial baru-baru ini mengenai satu insiden menyayat hati melibatkan pengurusan jenazah yang didakwa sengaja dipersulitkan.
Dalam situasi waris sedang berduka kehilangan, timbul pula isu birokrasi dan 'perebutan' hak menguruskan jenazah sehingga urusan pengebumian tertangguh lebih satu jam 20 minit gara-gara pengurusan sebuah masjid di Kampung Pandan, Ampang dipercayai menuntut bayaran RM1,400 bagi urusan pengendalian jenazah.
Memetik portal berita tempatan, kelewatan berkenaan berlaku selepas permit pengebumian yang sepatutnya diserahkan kepada waris didakwa ditahan oleh pihak pengurusan masjid susulan keluarga enggan menjelaskan bayaran berkenaan.
Kisah yang dikongsikan oleh Ustaz Wan daripada Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) ini tular menerusi satu hantaran di media sosial milik pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai sekali gus menjentik emosi netizen.
Apa sebenarnya yang berlaku? Jom ikuti rentetan kes ini:

1-Bapa arwah merupakan Ahli Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS), Kg Pandan Dalam.
2-Bapa arwah minta BKS untuk menguruskan jenazah anak. BKS telah mengambil jenazah di Hospital Ampang, memandikan jenazah dan menyelesaikan solat jenazah.
3-Selepas selesai urusan tersebut, bapa arwah minta Borang Kebenaran Pengkebumian Jenazah MPAJ kepada pihak pengurusan masjid, kemudiannya pihak pengurusan masjid menyatakan akan caj ahli waris sebanyak RM1,400 untuk urusan jenazah.
4-Tetapi bapa arwah tetap mahu BKS yang menguruskan jenazah anaknya. Malangnya pihak pengurusan masjid berkenaan telah menyekat borang permohonan dan mengambil permit kubur daripada waris.
5-Keluarga terus meminta BKS membawa jenazah ke Tanah Perkuburan Ukay Perdana.
6-Namun, pihaknya mendakwa dua anggota polis memaklumkan proses pengebumian jenazah tidak boleh diteruskan kerana ada laporan daripada pihak pengurusan masjid sehinggalah ahli waris keluarga arwah terpaksa tunggu lebih satu jam.
7-Selepas pihak pihak pengurusan masjid datang ke Tanah Perkuburan Ukay Perdana, kemudian baharulah pihak polis dan penyelia kubur didakwa membenarkan BKS meneruskan pengkebumian jenazah.
Kes berkenaan menjadi perhatian warganet dan mengundang pelbagai komen dan spekulasi.
Semoga perkara ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa menimbulkan sebarang isu.
Al-Fatihah kepada Allahyarham, semoga ALLAH tempatkan arwah dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh.
Sumber: Facebook

![Jenazah Tersadai Di Liang Lahad Lebih 1 Jam, Masjid Didakwa Minta RM1,400 Untuk Pengebumian [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/06/Jenazah-dah-di-liang-lahad-tapi-didakwa-ditahan-oleh-pihak-masjid.jpg?t=1782450254)




