amree28/08/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Ogos – Jentayu Sustainables Berhad melepaskan 100% kepentingan dalam Ultimate Forte Sdn Bhd (UFSB), pemilik dan pengendali Ohana Specialist Hospital pada harga RM1.75 juta.
Langkah itu membolehkannya memberi tumpuan penuh kepada perniagaan teras tenaga boleh diperbaharui (RE), serta sebahagian usaha penstrukturan semula dan rasionalisasi operasi kumpulan berkenaan.
Menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia, ia memeterai Perjanjian Jual Beli Saham (SSA) pada 28 Ogos 2026 dengan Nexora Healthcare Sdn Bhd bagi pelupusan seluruh ekuiti dalam UFSB secara tunai.
"Selepas urus niaga tersebut disempurnakan, UFSB yang mengendalikan Ohana Specialist Hospital akan terus berhenti daripada menjadi anak syarikat Jentayu Sustainables," jelas kumpulan berkenaan.
Nexora Healthcare, diperbadankan pada 3 Ogos 2026, dimiliki sepenuhnya Datuk Dr Muhammad Rayyan Abdullah dan menjalankan aktiviti perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan, dan operasi hospital.
Nilai pelupusan itu ditentukan menerusi rundingan atas dasar pembeli dan penjual bersedia, dengan mengambil kira kerugian berterusan, aliran tunai serta beberapa isu operasi dan kawal selia.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, UFSB mencatatkan hasil RM7.42 juta tetapi kerugian sebelum dan selepas cukai masing-masing sebanyak RM2.05 juta, dengan liabiliti bersih RM7.22 juta.
"Jentayu Sustainables merekodkan keuntungan bersih daripada pelupusan sebanyak RM2.37 juta selepas diambil kira hasil jualan, kedudukan liabiliti bersih dan anggaran perbelanjaan guaman," katanya.
Daripada pelupusan itu, RM1.75 juta akan digunakan bagi menyelesaikan jumlah terhutang daripada UFSB kepada kumpulan tersebut, dengan pembayaran dijangka selewat-lewatnya pada 30 September 2027.
Di bawah syarat SSA, pembeli perlu membayar 5% daripada harga belian, manakala baki 95% dibayar pada atau sebelum 30 Ogos 2027, dengan bayaran dijamin secara berasingan oleh Dr Muhammad Rayyan.
Ujarnya, pelupusan itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap aset bersih, tahap hutang, pendapatan dan pendapatan sesaham Jentayu Sustainables bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027. - DagangNews.com



