hamden18/08/2026 - 17:36 Johor Specialist Hospital melaksanakan pembedahan mastoid dan pembaikan gegendang telinga secara sedar yang pertama di Malaysia, memperluaskan pilihan rawatan dalam penjagaan ENT khusus menerusi pendekatan inovatif menggunakan anestesia setempat. Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Ogos - KPJ Healthcare Bhd mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM104 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26), meningkat 27% berbanding RM82 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Prestasi itu disokong pertumbuhan hasil sebanyak 17% kepada RM1.197 bilion, berbanding RM1.024 bilion setahun sebelumnya, susulan peningkatan jumlah pesakit serta peralihan kepada rawatan kes yang lebih kompleks dan memerlukan tahap penjagaan lebih tinggi.
Bagi tempoh enam bulan pertama FY26, hasil KPJ Healthcare meningkat kepada RM2.247 bilion daripada RM1.991 bilion, manakala PATAMI meningkat kepada RM174 juta berbanding RM139 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Jumlah pembedahan pada 2QFY26 meningkat 12% kepada 31,475, manakala kemasukan pesakit dalam bertambah 10% kepada 101,637.
Lawatan pesakit luar pula meningkat 9% kepada 765,334, sementara kadar penggunaan katil (BOR) meningkat kepada 68%, berbanding 62% pada suku sama tahun sebelumnya.
Purata hasil bagi setiap pesakit meningkat 7% bagi pesakit dalam dan pesakit luar, mencerminkan peningkatan intensiti hasil susulan strategi Kumpulan memberi tumpuan kepada kes yang lebih kompleks.
KPJ Healthcare berkata margin PATAMI meningkat kepada 9% berbanding 8% setahun sebelumnya, disokong campuran kes yang lebih kukuh serta kecekapan operasi yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, margin EBITDA susut satu mata peratusan kepada 23%, terutama disebabkan peningkatan kos operasi susulan pertambahan aktiviti hospital, termasuk kos pelaburan teknologi bagi meningkatkan pengalaman pesakit, penyampaian perkhidmatan dan kecekapan operasi.
Dividen interim 1.10 sen
Dalam perkembangan lain, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1.10 sen sesaham bagi FY26 berjumlah RM48.7 juta.
Dividen tersebut akan dibayar pada 9 Oktober 2026 kepada pemegang saham yang berdaftar setakat 18 September 2026.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan, berkata prestasi suku tersebut mencerminkan kekuatan strategi Kumpulan serta pelaksanaan secara kolektif di seluruh rangkaian.
“Semakin ramai pesakit memilih KPJ untuk mendapatkan rawatan bagi kes yang lebih kompleks, mencerminkan kekuatan pasukan klinikal, kepimpinan hospital dan pengurusan di seluruh rangkaian.
“Keuntungan meningkat 27% meskipun berdepan tekanan kos dalam industri. Margin PATAMI bertambah baik, manakala margin EBITDA sedikit terjejas akibat inflasi dan kos penambahan kapasiti,” katanya.
Menurut beliau, Kumpulan mengambil langkah terancang untuk menambah kapasiti bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, dengan kadar penggunaan katil sebanyak 68% menunjukkan peluasan rangkaian hospital berada pada landasan yang tepat bagi menyokong pertumbuhan masa hadapan.
Fokus kes kompleks, kapasiti baharu
KPJ Healthcare berkata pelaksanaan Pelan Strategik Kumpulan 2026-2030 menerusi KPJ Health System (KPJHS) terus mencatat kemajuan melalui enam pemacu pertumbuhan utama.
Antaranya ialah tumpuan kepada penjagaan kes yang lebih kompleks dan pembangunan Pusat Kecemerlangan, peluasan sistem kesihatan akademik, rangkaian serta penjagaan ambulatori, penjagaan kesihatan berasaskan digital, kecerdasan buatan (AI) dan data, pelancongan kesihatan serta peluasan akses pembiayaan dan pencegahan.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, segmen pelancongan kesihatan mencatat hasil RM146 juta daripada 86,170 pesakit, meningkat 21% tahun ke tahun.
Kumpulan berkata segmen pesakit antarabangsa kekal sebagai pemacu pertumbuhan jangka panjang menerusi International Patient Centres, disokong kedudukan Malaysia sebagai destinasi serantau bagi perkhidmatan pakar berkualiti tinggi pada harga kompetitif.
Dalam perkembangan klinikal, Damansara Specialist Hospital 2 menjadi hospital pertama di Asia Tenggara yang menawarkan rawatan Supine High-Intensity Focused Ultrasound (HIFU) bagi fibroid rahim tanpa pembedahan.

KPJ Selangor Specialist Hospital pula melaksanakan pembedahan skru simen invasif minimum HOBBIT yang pertama di rantau Asia Pasifik, manakala Johor Specialist Hospital berjaya melakukan prosedur pembaikan mastoid dan gegendang telinga ketika pesakit sedar yang pertama di Malaysia.
KPJ Kluang Specialist Hospital pula menjadi hospital pertama di selatan Malaysia yang menjalankan prosedur FARAPULSE pulsed-field ablation bagi merawat fibrilasi atrium.
Sementara itu, Tawakkal Specialist Hospital memperkenalkan perkhidmatan pemindahan buah pinggang pertama dalam rangkaian KPJ serta pemasangan implan pendengaran Cochlear Nucleus Nexa generasi terkini yang pertama.

Peluasan rangkaian dan digital
KPJ Healthcare berkata pembinaan fasiliti baharu KPJ Perdana Specialist Hospital di Kota Bharu telah dimulakan bagi menambah kapasiti perkhidmatan pakar di Pantai Timur.
Tiga Pusat Penjagaan Ambulatori Kumpulan turut terus memperluas akses penjagaan kesihatan, termasuk pembukaan KPJ Centre for Sight di PJ33 yang menawarkan perkhidmatan oftalmologi pakar kepada komuniti.
Dalam segmen digital, Kumpulan terus memperkukuh integrasi AI, genomik dan penjagaan berasaskan nilai dalam sistem kesihatan akademiknya, disokong platform digital pengguna menerusi aplikasi KPJ Cares serta KPJ Cares Junior.
KPJ Healthcare University turut memeterai kerjasama strategik dengan Royal College of Surgeons of England bagi memperkukuh pendidikan pembedahan dan kecemerlangan klinikal di seluruh rangkaian.
Kerjasama itu melengkapi khidmat perundingan berterusan Kumpulan bersama Mayo Clinic serta kerjasama strategiknya dengan SingHealth.
Prospek kekal positif
KPJ Healthcare berkata permintaan berterusan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta berkualiti dijangka menyokong prospek Kumpulan, ketika ia meneruskan program pengoptimuman aset, memperkukuh kecekapan operasi serta memperluas kapasiti di seluruh rangkaiannya.
Kumpulan berkata Bank Negara Malaysia melaporkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6%, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh, perbelanjaan isi rumah yang kekal mampan serta aktiviti pelaburan yang stabil.
BNM menjangkakan pertumbuhan KDNK Malaysia pada kadar 4% hingga 5% bagi 2026, disokong permintaan domestik yang berdaya tahan dan aktiviti eksport berterusan.
“Seiring permintaan yang berterusan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta yang berkualiti, Kumpulan terus melaksanakan program pengoptimuman aset dan memperkukuh kecekapan operasi, di samping meneruskan peluasan kapasiti di seluruh rangkaiannya.
“Meskipun berdepan cabaran ekonomi dan geopolitik global yang berterusan, Kumpulan kekal optimis secara berhati-hati terhadap prospeknya bagi tahun kewangan 2026,” katanya.
Selepas suku kedua, Kumpulan turut melancarkan Pusat Kecemerlangan Ortopedik dan Reumatologi di KPJ Penang Specialist Hospital, selain terus memperkukuh agenda klinikal, akademik dan digital termasuk memperluas kerjasama strategik bersama SingHealth serta meneruskan khidmat perundingan bersama Mayo Clinic. - DagangNews.com






