amree24/08/2026 - 09:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Ogos – Pelabur asing masih meneruskan rentak jualan bersih Bursa Malaysia bagi minggu ketiga berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar RM549.1 juta, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu menambah, jualan tertinggi dicatatkan pada Isnin sebanyak RM190.5 juta, diikuti Selasa (RM188.3 juta), Rabu (RM124.7 juta), Khamis (RM34.9 juta) dan Jumaat (RM10.8 juta).
Katanya, tiga sektor utama dengan aliran masuk bersih asing yang paling tinggi ialah utiliti (RM141.8 juta), pengangkutan dan logistik (RM56.6 juta), serta penjagaan kesihatan (RM31.8 juta).
"Tiga sektor mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM420.1 juta), teknologi (RM161.0 juta), serta perkhidmatan dan produk pengguna (RM101.6 juta)," jelasnya.
MBSB Research menambah, institusi tempatan masih lagi menjadi pembeli bersih sebanyak iaitu RM591.1 juta, dengan trend itu dilihat secara berterusan untuk tempoh empat minggu yang berturut-turut.
Pada masa sama kata firma penyelidikan tersebut, pelabur runcit tempatan kembali menjadi penjual bersih selepas seminggu membeli, dengan mencatatkan jumlah aliran keluar sebanyak RM42.0 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) adalah meningkat dengan peruncit tempatan naik 13.3%, manakala institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing bertambah 13.2% dan 3.2%. - DagangNews.com





