Jentera BN Pahang siap sedia bantu PRN Negeri Sembilan - Wan Rosdy

LocalPolitics
13 Jul 2026 • 9:53 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jentera BN Pahang siap sedia bantu PRN Negeri Sembilan - Wan Rosdy
Wan Rosdy

KUANTAN- Barisan Nasional (BN) akan memastikan momentum kemenangan besar gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu diteruskan pada PRN Negeri Sembilan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, BN Pahang kini bersedia untuk menghantar jenteranya bagi membantu sepanjang tempoh kempen bagi memastikan Negeri Sembilan kembali diterajui BN.

Menurutnya, kemenangan BN pada PRN Johor meningkatkan motivasi parti untuk mengulangi kejayaan sama di Negeri Sembilan.

"Kita wajib bantu bagi membuktikan BN khususnya UMNO masih di hati rakyat dan relevan di negeri itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Festival Belia Pahang sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang 2026 dan Pelancaran Program Walk A Town With Me Pahang 1st di Kompleks Belia dan Sukan (Kombes) Negeri Pahang, di sini pada Ahad.

PRN Negeri Sembilan dijadualkan pada 1 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon ditetapkan 18 Julai ini, dengan 36 kerusi dipertandingkan.

Pada PRN lalu, PH memenangi 17 kerusi DUN manakala BN (14) dan Perikatan Nasional (PN) (5).

Sementara itu beliau berkata, kemenangan BN pada PRN Johor Sabtu lalu membuka laluan kepada gabungan itu membuktikan kawasan Felda kembali menjadi kubu kuat mereka.

Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN/UMNO Pahang berkata, perkembangan positif pada PRN itu secara tidak langsung menunjukkan sokongan peneroka Felda kembali kepada BN.

Menurutnya, Felda asalnya kubu kuat BN namun mungkin berlaku kekeliruan menyebabkan ada warga peneroka yang beralih sokongan pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

"Sekarang sokongan dah kembali. Mungkin pada PRU lalu mereka tersilap, terkeliru antara BN dan PN.

"Peneroka sendiri dapat menilai kesungguhan kerajaan Pahang dan Johor ditadbir BN terutamanya dalam menyelesaikan isu peneroka terutama hak milik berbanding kerajaan ditadbir gabungan lain," katanya.

Wan Rosdy berkata, daripada lebih 43,000 peneroka Felda di Pahang, 95.5 peratus daripadanya sudah menerima suratan hak milik.

"Kita bercakap dengan angka dan ini bukti kepekaan, kesungguhan kerajaan Pahang dan Johor ditadbir BN dalam perkara ini," ujarnya.

Pada keputusan PRN Johor Sabtu lalu, BN memperoleh majoriti selesa dengan memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN.

Daripada jumlah itu, 20 daripadanya adalah kerusi DUN yang mempunyai pengundi dalam kawasan tanah rancangan.

BN Pahang diberi tanggungjawab menjaga 73 kawasan Felda sepanjang PRN berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved