
PETALING JAYA – Kemelut antara pelawak Jep dan Shuib semakin melarat, ahli kumpulan Senario, Saiful Apek menyifatkan kedua-duanya sudah cukup dewasa untuk menyelesaikan perselisihan faham secara matang tanpa membiarkan konflik berpanjangan.
Ujar Saiful Apek atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 57, kedua-dua pelawak itu perlu meletakkan kematangan serta tanggungjawab sebagai suami dan bapa mengatasi persengketaan peribadi.
“Bagi saya, mereka sudah besar panjang, sudah menjadi bapa dan suami. Sepatutnya, mereka boleh meletakkan diri sebagai khalifah dengan menunjukkan kematangan dalam menyelesaikan masalah.
“Saya selalu percaya dunia berubah melalui teladan kita, bukan pendapat semata-mata. Saya bukan hendak mengangkat bakul sendiri, tetapi tengoklah Senario.
“Kalau kata kami tidak pernah bergaduh, rugilah. Adik-beradik memang perlu berselisih faham, tetapi jangan sampai pergaduhan itu dibawa ke gelanggang terbuka,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah bintang filem Duyung itu, hubungan sesama anggota Senario juga tidak terlepas daripada perselisihan faham namun rasa tidak puas hati tidak pernah menjadi alasan untuk mereka memutuskan hubungan atau mengetepikan kepentingan bersama.
“Maaf hendak cakap, saya tidak boleh nafikan kadangkala perangai ahli sendiri pun boleh membuatkan kita menyampah. Sekejap seorang panas baran, sekejap seorang lagi tidak berada dalam keadaan baik.
“Namun, apabila ada projek, akhirnya kami tetap rindu untuk duduk bersama. Contohilah kami. Walaupun kadangkala sudah menyampah antara satu sama lain, kami masih boleh bersatu.
“Apabila naik ke pentas dan melihat orang ramai gembira, kami turut merasakan kepuasan itu. Bukanlah kami berpura-pura atau sengaja berlakon bahagia semata-mata untuk menggembirakan orang dengan alasan persembahan mesti diteruskan,” ujarnya.
Tambah Apek, dia sentiasa mendoakan perkara terbaik buat rakan-rakan dalam industri seni, termasuk mereka yang sedang berdepan konflik peribadi.
Katanya, dia tidak boleh memaksa sesiapa menerima nasihat, sebaliknya hanya mampu menegur apabila merasakan perkara itu wajar dilakukan.
“Saya selalu cakap, ukhuwah ibarat tasbih. Ada permulaan, tetapi tidak semestinya mempunyai pengakhiran. Di situlah letaknya kemanisan sebuah persahabatan.
“Sudah tentu, sebagai orang yang sudah lama bersama sahabat-sahabat lain, saya sentiasa mendoakan mereka. Ada juga bertanya mengapa saya tidak menasihati mereka.
“Saya bukan emak atau bapa mereka. Saya tidak boleh menentukan apa yang mereka perlu buat. Mana-mana perkara yang boleh saya tegur, saya akan tegur. Selebihnya, mereka sendiri perlu membuat keputusan,” luahnya.
Terdahulu, Jep mengakui sudah muak apabila isu persahabatannya dengan Shuib terus dibangkitkan dan dipersoalkan kepadanya.
Jep atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Zainal Abidin, 41, turut menitipkan pesanan tegas kepada Shuib supaya tidak lagi mengganggunya kerana mahu memberikan tumpuan kepada tanggungjawab membesarkan dua orang anaknya.
Kemelut antara kedua-dua pelawak itu kembali menjadi perhatian selepas mereka saling berbalas kenyataan.
Jep turut mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas rakan sekumpulannya itu susulan dakwaan dirinya menjadi mangsa fitnah dalam satu kenyataan menerusi Dol’s Podcast baru-baru ini.
Jep mendakwa isu berkenaan bukan sekadar berkaitan sindiran seperti diperkatakan, sebaliknya membabitkan dakwaan fitnah serius. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Jep, Shuib dah besar panjang, selesaikan cara matang’ appeared first on Kosmo Online.





![“Bukan Pasal Sindir, Ini Fitnah” – Ini Respon Jep Selepas Shuib Buat Permohonan Maaf Secara Terbuka [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/jep-ambil-tindakan-undang-undang-ke-atas-shuib.jpg?t=1792050495)
