Antara senjata paling menakutkan ketika Perang Dunia Kedua (WW2) ialah pesawat bunuh diri Kamikaze yang digunakan Jepun di teater Lautan Pasifik. Juruterbang Jepun mengorbankan diri dengan menghempaskan pesawat yang dipenuhi bahan letupan ke atas geladak kapal Tentera Laut Amerika. Dianggarkan sehingga 120 kapal berjaya dikaramkan menggunakan serangan ini.
Hampir 81 tahun selepas tamatnya WW2, Jepun kini dilaporkan berminat mengembalikan semula penggunaan kamikaze tetapi dalam bentuk dron dan senjata yang boleh berkeliaran di udara sebelum menyerang musuh.

Penggunaan dron oleh Ukraine, Rusia dan Iran menunjukkan bagaimana senjata murahan ini bukan sahaja berkesan mendatangkan kemusnahan besar tetapi dapat mengelak dikesan sistem radar konvensional. Iran dan Ukraine masing-masing menggunakan dron untuk memusnahkan armada pesawat pengebom, kapal terbang pengisi minyak dan kapal terbang radar milik Rusia serta Amerika Syarikat.
Dron kamikaze Jepun akan mempunyai jarak operasi sekitar 1000 km bagi membolehkan di menyerang China atau Korea Utara sekiranya perang meletus. Ia perlu boleh dilancarkan daripada kapal terbang dan juga kapal selam. Komponen pesawat sedia ada akan digunakan untuk membangunkan dron kamikaze bagi mengurangkan kos. Ia juga akan memudahkan ia dikeluarkan dalam jumlah yang banyak dalam tempoh yang singkat.

Dron Shahed keluaran Iran dikeluarkan dalam jumlah besar dengan pelancarnya pula adalah kenderaan yang mudah dialihkan. Sukar untuk Amerika mengesan dari mana ia dilancarkan dan oleh itu sukar pula untuk dimusnahkan.
Shahed terbukti berkesan, Amerika membangunkan dron FLM-136 (Low-cost Uncrewed Combat Attack System) yang merupakan Shahed cetak rompak yang ditiru sepenuhnya untuk menyerang Iran dalam perang yang masih berlarutan sekarang. Dengan kos hanya $35,000 setiap satu, ia jauh lebih murah berbanding peluru berpandu yang harganya mencecah jutaan Dolar.

