KUALA LUMPUR - Sebanyak 11 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 11 pagi ini.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), tiga kawasan di Sarawak merekodkan bacaan tidak sihat, iaitu Sri Aman dan Serian dengan bacaan 174 serta Kuching (135).
Sementara itu, lapan kawasan di Semenanjung turut mencatat bacaan IPU tidak sihat dengan bacaan tertinggi direkodkan di Johan Setia, Selangor (158), Cheras, Kuala Lumpur (153), Nilai dan Seremban, Negeri Sembilan masing-masing 152 dan 147, Pasir Gudang (145) dan Larkin (136) di Johor, Putrajaya (134) dan Alor Gajah, Melaka (115).
Secara keseluruhannya, 55 kawasan dilaporkan berada pada tahap sederhana, manakala dua kawasan mencatat bacaan baik.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya). - Bernama






