
KUALA LUMPUR - Malaysia dan Thailand memeterai perjanjian baharu bagi meneruskan pembangunan Blok A-18-01 di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA), sekali gus memperkukuh kerjasama jangka panjang kedua-dua negara dalam eksploitasi sumber gas.
Perjanjian itu membabitkan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) antara Malaysia-Thailand Joint Authority (MTJA), PC JDA Limited dan PTTEP JDX.
Perjanjian jualan gas (GSA) pula turut membabitkan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan PTT Public Company Limited.
Kedua-dua perjanjian itu dimeterai sempena Gastech 2026 di Bangkok pada Isnin dan disaksikan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, Menteri Tenaga Thailand, Akanat Promphan serta Menteri Ekonomi Malaysia, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Perjanjian berkenaan bertujuan memberi kepastian lebih besar terhadap kesinambungan pembangunan Blok A-18-01, selain menarik pelaburan serta menyokong keselamatan tenaga kedua-dua negara.
Akmal berkata pembangunan berkenaan penting memandangkan gas asli terus memainkan peranan utama dalam sistem tenaga serta pertumbuhan sosioekonomi Malaysia.
Beliau berkata gas asli dijangka menyumbang 56 peratus daripada keseluruhan bekalan tenaga primer Malaysia menjelang 2050.
“Keutamaan sekarang ialah memastikan pembangunan sumber tenaga terus menarik pelaburan dan disokong oleh keupayaan industri untuk menjana nilai jangka panjang.
"Kepastian, kesinambungan dan keyakinan amat penting bagi mewujudkan ruang kepada pelaburan, mengekalkan pengeluaran serta menjamin nilai jangka panjang,” katanya.
Akmal berkata perjanjian itu turut menyediakan asas bagi memperluaskan pembangunan dalam MTJDA, dengan Blok B-17-01 dikenal pasti sebagai peluang seterusnya.
“Langkah seterusnya ialah membuka laluan kepada PSC dan GSA baharu bagi Blok B-17-01 supaya potensi MTJDA dapat diterjemahkan kepada manfaat jangka panjang untuk Malaysia dan Thailand,” katanya. - Getaran, 14 September 2026






