KUCHING - Sebanyak 591 sekolah di bawah seliaan 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sarawak ditutup berkuat kuasa serta-merta hari ini hingga esok.
Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan itu melibatkan 509 sekolah rendah dengan keseluruhan 107,590 murid dan 82 sekolah menengah melibatkan 89,733 pelajar.
Sekolah berkenaan adalah di bawah seliaan PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu dan Betong.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berasingan memaklumkan pemantauan rapi terhadap perkembangan cuaca, kualiti udara, titik panas, risiko kebakaran hutan dan tanah gambut serta status sumber bekalan air negeri terus dilaksanakan bersama-sama agensi berkaitan.
"Keadaan cuaca panas dan kering yang berpanjangan berpotensi meningkatkan risiko kebakaran hutan, tanah gambut dan kawasan terbuka, selain memberi tekanan terhadap sumber bekalan air.
"Sehubungan itu, JPBNS akan terus memperkukuh pemantauan, kesiapsiagaan serta langkah pencegahan dan mitigasi khususnya di kawasan berisiko tinggi,” menurut kenyataan itu.
Berdasarkan Laporan Cuaca Panas Sarawak setakat 2 petang hari ini, sebanyak 18 lokasi dipantau dengan beberapa lokasi merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat iaitu Kuching (191), Samarahan (175), Serian (195), Sri Aman (178), Sarikei (154), Sibu (108), Lundu (180), Tebedu (169) dan Lubok Antu (191). - Bernama




