Jerebu: 647 sekolah di Sarawak ditutup lima hari bermula Isnin

LocalEnvironment
4 Sep 2026 • 5:44 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jerebu: 647 sekolah di Sarawak ditutup lima hari bermula Isnin

PETALING JAYA – Sebanyak 647 sekolah rendah dan menengah di Sarawak ditutup sementara mulai 7 hingga 11 September depan susulan keadaan jerebu yang menyebabkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) berada pada paras tidak sihat di beberapa lokasi.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memaklumkan, penutupan itu melibatkan 563 sekolah rendah dengan 108,477 murid serta 84 sekolah menengah membabitkan 90,082 murid.

Keseluruhannya, seramai 198,559 murid terjejas susulan penutupan sementara berkenaan.

Menurut JPN Sarawak, keputusan itu dibuat berdasarkan pemantauan berterusan bacaan IPU sepanjang cuti persekolahan serta laporan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Penutupan sementara itu melibatkan sekolah di bawah seliaan 12 pejabat pendidikan daerah (PPD) iaitu PPD Kuching, PPD Padawan, PPD Bau, PPD Lundu, PPD Samarahan, PPD Simunjan, PPD Serian, PPD Sri Aman, PPD Lubok Antu, PPD Kanowit, PPD Julau dan PPD Meradong.

“Sehubungan itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan sementara sekolah yang terjejas oleh fenomena jerebu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPN Sarawak berkata, pelaksanaan PdPR dibuat selaras dengan ketetapan dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 8 Tahun 2016 berkaitan garis panduan pengurusan pengajaran dan pembelajaran akibat bencana.

Katanya, sebarang perubahan atau maklumat terkini berhubung keadaan berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Pada masa sama, pihak sekolah diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan selain mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang tempoh jerebu.

Semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Sarawak juga dinasihatkan supaya mematuhi garis panduan pelaksanaan aktiviti luar semasa cuaca panas.

JPN Sarawak turut meminta pihak sekolah sentiasa peka dengan perkembangan semasa menerusi portal rasmi Jabatan Alam Sekitar, Air Pollutant Index Management System (APIMS), bagi memantau tahap IPU di kawasan masing-masing.

Selain itu, institusi pendidikan perlu mematuhi saranan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid serta seluruh warga sekolah. – KOSMO! ONLINE

The post Jerebu: 647 sekolah di Sarawak ditutup lima hari bermula Isnin appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved