Jerebu Cecah Tahap Bahaya, Darurat Diiystihar Di Serian

LocalEnvironment
4 Sep 2026 • 9:25 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Jerebu Cecah Tahap Bahaya, Darurat Diiystihar Di Serian

KUALA LUMPUR - Seluruh kawasan Serian, Sarawak diiystihar sebagai darurat, selaras perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi kenyataan memaklumkan, ia susukan keadaan jerebu yang telah mencapai tahap berbahaya. 

Jelas kenyataan itu, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

“Keputusan terbabit turut mengambil kira nasihat semua agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan berkenaan,” katanya.

Jelas PMO, semua langkah yang perlu secara lebih berkesan akan diambil bagi melindungi kesihatan serta kebajikan penduduk terjejas.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa dan memastikan segala tindakan diperlukan dilaksana dengan segera, termasuk langkah mitigasi serta penyampaian maklumat dan nasihat kesihatan kepada orang ramai,” katanya. 

Serian hari ini mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 518, sekali gus meletakkan kawasan itu dalam kategori berbahaya.

Bacaan tersebut direkodkan di stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).

Situasi sama turut berlaku di beberapa kawasan lain di Sarawak apabila kualiti udara merosot ke tahap yang membimbangkan.

Kuching merekodkan bacaan IPU 310, yang turut dikategorikan sebagai berbahaya, manakala Samarahan dan Sri Aman masing-masing mencatat bacaan 281 dan 245, iaitu pada tahap sangat tidak sihat.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak mengumumkan penutupan sementara 647 sekolah selama lima hari berikutan jerebu yang semakin memburuk.

Daripada jumlah itu, 563 sekolah rendah melibatkan 108,477 murid, manakala 84 sekolah menengah membabitkan 90,082 pelajar.

Keseluruhannya, seramai 198,559 murid dan pelajar terjejas akibat penutupan tersebut.

Daerah yang terlibat ialah Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu, Kanowit, Julau dan Meradong.

Menurut JPN Sarawak, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pemantauan berterusan terhadap bacaan IPU sepanjang cuti persekolahan, selain laporan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“JPN Sarawak sentiasa memberi keutamaan kepada kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, khususnya ketika berdepan cuaca panas atau sebarang keadaan cuaca luar jangka,” katanya dalam satu kenyataan.

Sepanjang tempoh penutupan sementara itu, proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan dilaksanakan mengikut garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan pengurusan pengajaran dan pembelajaran ketika berlaku bencana.

Pihak sekolah turut diarahkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta merujuk garis panduan kementerian berkaitan perlindungan kesihatan dan keselamatan murid di sekolah yang berada di kawasan terjejas jerebu kritikal.

JPN Sarawak berkata sebarang perubahan atau perkembangan lanjut berhubung situasi berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. - Getaran, 4 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved