Jerebu ancaman senyap pada kanak-kanak

Health & FitnessFamily & Parenting
19 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jerebu ancaman senyap pada kanak-kanak

KANAK-kanak lebih mudah menerima kesan jerebu kerana paru-paru dan sistem badan mereka masih dalam proses perkembangan. Mereka juga bernafas dengan lebih cepat berbanding orang dewasa, menyebabkan jumlah bahan pencemar yang disedut berbanding saiz badan boleh menjadi lebih tinggi.

Pendedahan kepada jerebu boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami batuk, sakit tekak, sesak nafas, mata berair dan ketidakselesaan pada saluran pernafasan. Bagi kanak-kanak yang mempunyai asma atau masalah pernafasan, keadaan udara yang tercemar juga boleh memburukkan gejala mereka.

Kajian berkaitan kanak-kanak di Malaysia turut menunjukkan jerebu dikaitkan dengan peningkatan kemasukan ke hospital akibat masalah pernafasan, dengan kesannya boleh menjadi lebih serius dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah lima tahun apabila jerebu berlaku pada tahap tinggi atau berpanjangan.

Kesan jerebu bukan sahaja melibatkan kesihatan fizikal, malah boleh mempengaruhi pembelajaran dan rutin harian kanak-kanak. Langkah proaktif perlu diambil bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada jerebu. Antaranya adalah:-

  • Apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU)  melebihi 100 (tahap tidak sihat), ibu bapa perlu memastikan anak-anak berada di dalam rumah dan elakkan sebarang aktiviti di luar. 
  • Pintu dan tingkap perlu ditutup apabila pencemaran di luar berada pada tahap tinggi.
  • Memasang penapis udara yang dilengkapi penapis udara zarah berkecekapan tinggi (HEPA) di dalam rumah dapat membantu menapis pencemar udara di dalam kediaman.
  • Pastikan kanak-kanak memakai topeng muka yang berkesan seperti N95 saiz kanak-kanak dan pastikan ia dipakai dengan betul. 
  • Pastikan anak-anak minum air secukupnya kerana langkah ini membantu membuang toksin dan memastikan badan anak-anak terhidrat. 
  • Cuci muka dan tangan sebaik sahaja kembali dari luar. Tukar pakaian bersih amat digalakkan kerana pakaian yang terdedah dengan jerebu mungkin mempunyai bahan pencemar yang melekat. 
  • Sekiranya mengalami batuk berterusan, kesukaran bernafas atau gejala yang semakin teruk, pemeriksaan perubatan perlu dilakukan.

Masalah jerebu tidak seharusnya dianggap sebagai gangguan bermusim semata-mata. Usaha mengurangkan pencemaran udara memerlukan kerjasama kerajaan, industri dan masyarakat. Melindungi udara yang kita hirup bermakna melindungi kesihatan generasi akan datang kerana setiap kanak-kanak berhak membesar, belajar dan bermain dalam persekitaran dengan udara yang bersih dan sihat.

 

DR. SITI NURSHAHIDA NAZLI

Jabatan Kesihatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan, 

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam

The post Jerebu ancaman senyap pada kanak-kanak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved