Jerebu: Greenpeace dakwa 20 entiti termasuk syarikat perladangan Malaysia terbabit dengan kebakaran hutan Indonesia

LocalEnvironment
5 Oct 2026 • 6:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jerebu: Greenpeace dakwa 20 entiti termasuk syarikat perladangan Malaysia terbabit dengan kebakaran hutan Indonesia Image from: Jerebu: Greenpeace dakwa 20 entiti termasuk syarikat perladangan Malaysia terbabit dengan kebakaran hutan Indonesia liza05/10/2026 - 18:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Okt – Greenpeace mendakwa sebanyak 20 entiti termasuk syarikat perladangan Malaysia dikenal pasti mempunyai kaitan dengan penemuan kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia pada 2026, berdasarkan data sumber kebakaran yang dianalisis pertubuhan alam sekitar itu.

 

Greenpeace berkata, entiti sama turut dikenal pasti mempunyai kebakaran di kawasan tanahnya dalam laporan berkaitan jerebu pada 2019.

 

Greenpeace turut menyenaraikan beberapa konsesi lain yang mempunyai kaitan dengan kumpulan perniagaan dari Singapura dan dikenal pasti mempunyai titik sumber jerebu (lokasi kebakaran).

 

Antaranya termasuk PT Damai Agro Sejahtera yang mempunyai hubungan dengan Bumitama Agri Ltd; PT Kayung Agro Lestari yang dikaitkan dengan First Resources, ANJ dan kumpulan perniagaan berasaskan Singapura; serta konsesi PT Mitra yang berada di bawah keluarga Fangiono dan First Resources.

 

5,540 sumber asap dikesan

Greenpeace berkata, daripada 5,540 lokasi sumber asap yang dikenal pasti antara 8 Ogos hingga 20 September 2026, sebanyak 859 dikesan dalam 115 konsesi Pemegang Hak Pengusahaan Hutan (PBPH), manakala 774 lagi berada dalam 210 konsesi tanaman kelapa sawit.

 

Sebanyak 2,951 lokasi pula berada dalam 114 kawasan Kesatuan Hidrologi Gambut (KHG), sementara 2,211 lokasi ditemui berulang kali di kawasan yang pernah mengalami kebakaran antara 2015 hingga 2023.

 

Menurut Greenpeace, keadaan itu menunjukkan kebakaran hutan dan tanah gambut bukan sekadar kejadian semula jadi, sebaliknya berkait dengan pengurusan landskap dan pengembangan aktiviti agro-ekstraktif di kawasan mudah terbakar.

 

Pertubuhan itu berkata, daripada 24.2 juta hektar kawasan KHG di Indonesia, kira-kira 16.4 juta hektar berada dalam keadaan mudah terbakar, manakala enam juta hektar lagi sangat terdedah kepada banjir.

 

Jerebu rentas sempadan jejas Malaysia

Greenpeace turut memberi perhatian kepada kesan kesihatan akibat pendedahan berpanjangan kepada zarah halus PM2.5 daripada kebakaran tanah gambut di Sumatera dan Kalimantan.

 

Menurut anggarannya, pencemaran itu dikaitkan dengan kira-kira 33,100 kematian dalam kalangan orang dewasa dan 2,900 kematian bayi setiap tahun.

 

Bagi 2026 pula, krisis pencemaran udara itu didakwa menyebabkan lebih 4,390 kemasukan ke hospital akibat penyakit pernafasan akut serta sekurang-kurangnya 635,000 kes serangan asma teruk dalam kalangan kanak-kanak di Indonesia.

 

Di Malaysia, Greenpeace memetik data Kementerian Kesihatan yang menunjukkan peningkatan 259% bagi kes asma dan 124% bagi jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

 

Setakat 14 September 2026, Greenpeace berkata jerebu telah menjejaskan kualiti udara selama 41 hari di Sarawak, 11 hari di Sabah, tujuh hari di Johor dan lima hari di Kuala Lumpur, selain tiga hari di Singapura.

 

Greenpeace gesa tindakan lebih tegas

Greenpeace turut mendakwa kebanyakan kawasan yang terbakar tidak dipulihkan sepenuhnya, dengan analisis Pantau Gambut bagi tempoh sedekad menunjukkan antara 97% hingga 99% kawasan terbakar tidak dipulihkan.

 

Menurutnya, selepas kebakaran besar antara 2015 hingga 2019, hanya 1% hingga 3% kawasan terjejas berjaya dipulihkan menjadi hutan, manakala sebahagian besar kawasan berubah menjadi semak atau ditukar kepada ladang kelapa sawit berskala besar.

 

Greenpeace berkata, keadaan itu menunjukkan kelemahan penguatkuasaan dan membolehkan aktiviti pembukaan tanah terus berlaku di kawasan yang berisiko tinggi terhadap kebakaran.

 

Sehubungan itu, Greenpeace menggesa Indonesia menghentikan pengembangan industri agro-ekstraktif di kawasan terdedah, menarik balik permit konsesi yang terlibat dalam kemusnahan tanah gambut serta mengambil tindakan lebih tegas terhadap syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran berulang.

 

Greenpeace turut menyeru pengukuhan rangka kerja undang-undang bagi menangani jerebu rentas sempadan, termasuk mekanisme akauntabiliti korporat merentas negara dan tindakan pencegahan yang lebih berkesan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved