
KUALA TERENGGANU – Hasrat orang ramai untuk melihat negara bebas daripada jerebu dalam tempoh terdekat seakan mustahil apabila cuaca buruk disebabkan asap itu dijangka memenuhi atmosfera Semenanjung sehingga Februari tahun depan.
Keadaan itu berlarutan disebabkan corak cuaca semasa dan keadaan kebakaran hutan di Indonesia yang tidak berkesudahan walaupun hujan turun di sesetengah kawasan.
Bagaimanapun, impak jerebu dijangka tidak begitu ketara di Pantai Timur ekoran ketibaan Monsun Timur Laut tidak lama lagi yang membawa taburan hujan tinggi sekali gus membersihkan udara serta mengurangkan kepekatan pencemar.
Sehubungan itu, jerebu yang kini melanda Kuala Terengganu, Kemaman dan Paka diramal reda selewat-lewatnya awal November ini.
Pakar Kualiti Udara Universiti Sultan Zainal Abidin, Prof. Madya Dr. Azman Azid berkata, walaupun impak cuaca panas disebabkan Monsun Barat Daya mula berkurangan, hujan yang turun pada masa ini dilihat masih belum mencukupi untuk memadamkan sepenuhnya kawasan kebakaran di negara jiran tersebut.
“Berdasarkan pemerhatian saya, hujan yang berlaku sekarang masih belum cukup untuk memadamkan semua kawasan kebakaran di negara jiran.
“Keadaan jerebu masih berpotensi berlaku dan boleh berlarutan sehingga awal tahun depan, bergantung kepada keadaan cuaca dan pergerakan angin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut Azman, perubahan arah dan kelajuan angin turut memainkan peranan penting terhadap turun naik bacaan kualiti udara berikutan zarah pencemar boleh dibawa masuk atau terkumpul di sesuatu kawasan bergantung kepada keadaan atmosfera.
Beliau berkata, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) juga boleh berubah dengan ketara dalam tempoh yang singkat apabila berlaku perubahan arah atau kelajuan angin.
“Sebab itu ada kawasan yang mencatatkan peningkatan mendadak, sebelum kembali menurun apabila keadaan angin berubah,” katanya.
Azman berkata, keadaan El Nino juga dijangka menjadi lebih kuat menjelang bulan depan dan Disember.
Beliau berkata, fenomena Super El Nino berkenaan boleh menyebabkan cuaca menjadi lebih panas dan kering sekali gus mengurangkan taburan hujan.
“Keadaan lebih panas dan kering ini boleh meningkatkan risiko kebakaran terbuka, sekali gus berpotensi menyebabkan masalah jerebu terus berlarutan di rantau Asia Tenggara ini,” katanya.
Sementara itu, portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia memaklumkan sebanyak 22 kawasan mencatatkan IPU pada tahap tidak sihat setakat pukul 5 petang semalam.
Katanya, bacaan tertinggi dicatatkan di Johan Setia (168), Shah Alam (165), Klang (158), Petaling Jaya (156) dan Banting (151) di Selangor.
Di Johor, beberapa kawasan turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu di Pasir Gudang (165), Larkin (163), Pengerang (152), Batu Pahat (122) dan Kluang (102).
“Di Kuala Lumpur terdapat dua kawasan mencatatkan IPU tidak sihat, iaitu di Batu Muda (162) dan Cheras (161).
“Selain itu di Negeri Sembilan, kawasan dengan IPU tidak sihat ialah Nilai (161) dan Seremban (154),” katanya.
Jerebu turut mengakibatkan bangunan ikonik Kuala Lumpur seperti KLCC, TRX dan Menara KL ‘hilang’.
The post Malaysia diramal Jerebu hingga Februari appeared first on Kosmo Online.






